
PERSATUAN Golf Wanita Malaysia (Malga) menegaskan komitmen mereka untuk menjadikan golf lebih inklusif, khususnya kepada wanita dari luar bandar dan golongan muda.
Presidennya, Tunku Puteri Tunku Puan Sri Datuk Seri Jawahir Tuanku Ja’afar berkata, Malga kini melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membuka lebih banyak ruang kepada bakat wanita tempatan, khususnya dari kawasan luar bandar untuk diketengahkan.
“Kami mahu lebih ramai wanita muda termasuk dari sekolah di kawasan luar bandar diberi peluang.
"Kami beri peralatan, pakaian dan kalau rosak kami tukar,” katanya ketika ditemui Majoriti selepas menghadiri sidang media Kejohanan Terbuka Amatur Wanita Malaysia ke-39 (MLAO) di Selangor pada Selasa
BACA LAGI: Tiroid ganggu kesihatan remaja wanita, rawatan awal mampu selamat nyawa
Penganjuran MLAO edisi ke-39 oleh Malga membawa misi memartabatkan bakat wanita tempatan ke peringkat global.
Seiring usaha memperluas akses kepada komuniti luar bandar, kata beliau lagi, Malga turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat daripada usia muda.
Melalui program pembangunan junior, persatuan itu menyasarkan pemain seawal usia tujuh hingga 18 tahun, sambil merangka inisiatif baharu bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memperluas penyertaan wanita dalam sukan ini.
Namun begitu, beliau mengakui bahawa antara cabaran utama dihadapi oleh pemain golf wanita adalah kos masih tinggi.
“Malaysia tiada kursus awam yang murah. Di luar negara, mereka bayar mungkin 20 dolar sahaja dan boleh bermain sendiri. Tapi di sini, semua perlu buat duit, semuanya mahal, jadi akses itu jadi terbatas,” katanya.
Justeru, program junior yang diwujudkan oleh Malga termasuk pemberian pakaian, peralatan, dan penggantian sekiranya rosak adalah langkah penting untuk menampung keperluan asas pemain muda.
“Kami perlu bantu mereka. Bukan saja pemain junior, tetapi juga wanita dari kawasan luar bandar yang tiada akses kepada kelab golf,” tambah beliau.
Tambahnya, melalui program pembangunan junior, Malga menyasarkan pemain seawal usia tujuh tahun sehingga 18 tahun, sambil merangka inisiatif baharu bersama KBS untuk memperluas penyertaan wanita dalam sukan ini.
“Kami yang senior ini tak lama dah. Mereka perlu belajar dari sekarang. Kami siapkan mereka untuk ambil alih,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tunku Jawahir turut meluahkan keterujaannya apabila MLAO edisi tahun ini berjaya menarik penyertaan dari 15 negara termasuk China, India, Korea dan New Zealand.
MLAO ke-39 akan berlangsung pada 28 hingga 31 Julai ini di Templer Park Country Club, Rawang, Selangor.
Dianjurkan oleh Malga dan disokong oleh KBS serta Perbadanan Padang Golf Subang (PPGS), kejohanan itu diberi penarafan C dalam Ranking Golf Amatur Dunia (WAGR) dan merupakan kejohanan wanita amatur paling berprestij di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram