Tawar habuan khas buat jaguh Asean, LAO ke-48 buru peserta lebih elit


  • Podium
  • Selasa, 24 Jun 2025

Ai-Leen (dua dari kiri) sudah bercita-cita besar untuk menyaksikan pemain terbaik dalam edisi kali ini.

KELAB Golf Royal Selangor (RSGC) meneruskan usaha melahirkan serta mengembangkan bakat pemain wanita amatur apabila menganjurkan Ladies Amateur Open Championship 2025.

Saingan yang akan berlangsung dari 5 ke 7 Ogos depan itu akan dipertandingkan di East Course RSGC, Kuala Lumpur (KL) yang dijangka menerima 60 peserta dari seluruh Asia.

Menariknya, bagi edisi ke-48 yang akan berlangsung kira-kira lima minggu lagi, peserta Asia Tenggara (Asean) yang menamatkan pertandingan di kedudukan terbaik akan menerima slot untuk ke kempen Kelayakan Maybank Championship 2025.

BACA LAGI: RSGC-SportExcel makin rancak kembang bakat muda golf, anjur JIGC ke-9

BACA LAGI: RSGC jadi medan terbaik uji, cungkil bakat muda golf negara

Edisi ke-48 menyediakan habuan cukup menarik buat pemain terbaik dari Asean.

Pengerusi kejohanan, Ai-Leen Tan berkata, kejohanan yang diadakan untuk kira-kira 50 tahun itu dilihat semakin kompetitif dengan pemain lebih berkualiti tampil menyertai saban tahun.

"Kita sudah menyaksikan ramai pemain wanita yang bergelar profesional dan kita berbangga kerana dapat menyediakan platform bagi mereka untuk melangkah ke tahap lebih tinggi.

"Setakat ini, saya tidak dapat berkongsi mengenai pemain ternama dari dalam negara yang akan menyertai, tetapi akan ada yang hadir dari Persatuan Golf Malaysia (MGA)," katanya.

Setakat 48 kali dianjurkan, Ladies Amateur Open Championship sudah melahirkan pemain berbakat seperti Mirabel Ting yang menjuarainya pada 2023 serta Winnie Ng yang muncul juara sebanyak dua kali.

Winnie Ng merupakan antara pemain terbaik pernah menyertai Ladies Amateur Open Championship.

Kejayaan tersebut menyaksikan pemain amatur dari beberapa negara luar tampil menyertai, termasuk Persekutuan Golf Bangladesh, Persekutuan Golf Guam dan Persatuan Golf Indonesia akan menghantar peserta.

Dalam pada itu, Ai-Leen berkata, pihaknya menyasarkan penyertaan lebih elit bagi edisi kali ini apabila penganjur menetapkan peserta tidak boleh mempunyai lebih daripada 13.4 dalam Indeks Handikap WHS.

"Apabila kita merendahkan angka itu, kami menjangkakan pemain berkualiti untuk menyertai. Jadi, jika anda peserta dalam sesebuah kejohanan, anda pasti mahu bersaing dengan yang terbaik. Jadi, dengan menjadikan syarat penyertaan lebih ketat, kita mampu menyaksikan peserta lebih baik," katanya.

Ladies Amateur Open Championship merupakan kejohanan golf amatur wanita berasaskan kelab persendirian tertua dalam negara dengan ia diiktiraf sebagai platform yang melahirkan pemain cemerlang.

Pertandingan itu terbuka buat pemain amatur berumur 12 tahun ke atas dengan indeks handicap ditetapkan dengan sebanyak empat kategori bakal dipertandingkan, termasuk Piala Tuanku Bahiyah bagi juara gross dan Piala Datin Azian buat pasukan gross. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram