
PERBALAHAN pihak pengurusan Kedah FA dan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang terus bercakaran di media sosial berterusan apabila KDA FC tampil menepis dakwaan dilontarkan sebelum ini.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, kelab yang berada di bawah kendalian Tan Sri Mohd Daud Bakar itu membalas tiga perkara yang pernah dikeluarkan persatuan tersebut sebelum ini.
Kekalutan sebegitu sudah tentu membuatkan penyokong di Utara tanah air kurang senang dan sekiranya tidak diselesaikan, kehadiran peminat ke saingan Liga A1 Semi Pro sudah tentu terkesan.
BACA LAGI: Semifinalis Piala FA: Akmal Rizal tak rasa ada kejutan awal
BACA LAGI: Selangor boleh bersaing rebut trofi, masih perlu waspada Kuching City-Terengganu — Akmal Rizal
Tampil memberi pandangan berhubung hal itu adalah pemain kelahiran Negeri Jelapang Padi, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang berharap isu tersebut dapat diselesaikan sambil melihat kehadiran kedua-dua pasukan tersebut sebenarnya memberi manfaat tersendiri.
"Sebagai orang luar, saya hanya boleh bertindak sebagai pemerhati dan saya mengharapkan ada penyelesaian terbaik. Tetapi, dari sudut positif, ini membolehkan pemain berpeluang mencari pasukan.
"Kita tahu Piala MFL ditutup dan diburukkan lagi dengan pengunduran pasukan Liga Super, kemasukan kedua-dua kelab ini saya melihat pentas terbaik kerana ramai pemain muda," katanya.
Akmal Rizal yang merupakan bekas pemain Kedah beranggapan peluang disediakan sebegitu cukup penting kerana bakat muda dari negeri tersebut sekurang-kurangnya diberikan platform berharga.
Skuad Lang Merah cukup bersedia dari segi persiapan pramusim dan aktiviti perpindahan pasukan. — Facebook/Kedah FA
Sekiranya musim lalu ‘ubi muda’ meraih peluang dalam Piala MFL, pembubaran kejohanan tersebut sekali gus menutup ruang buat mereka meraih minit permainan berharga untuk membuktikan kebolehan serta bakat dimiliki.
Dalam pada itu, Akmal yang pernah bergelar pengendali skuad Harimau Kumbang musim lalu berpandangan setiap pemain akan membuktikan diri selepas meraih peluang beraksi dalam kejohanan berkenaan.
"Untuk jurulatih kedua-dua pasukan iaitu Victor (Andrag) dan Azzmi (Aziz), mereka mahu menunjukkan kualiti tersendiri dan mahu mencapai sasaran masing-masing.
"Saya lihat persiapan Kedah FA lebih teliti dengan kemasukan pemain import dan senior. Sementara itu, buat KDA FC pula, saya agak kasihan kerana masih berdepan halangan perpindahan yang menutup peluang buat mereka membawa masuk rekrut baharu," katanya.
Skuad Sang Kenari yang melantik Azzmi Aziz masih belum memperkenalkan skuad ketika ini sementara Kedah FA lebih lengkap dengan kehadiran tiga bintang luar negara iaitu Yakubu Abubakar, Adam Azeez serta Pape Diakite. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram