[VIDEO] Genap sambut hari jadi ke-35, nekad lari tinggalkan hotel tengah malam antara kisah ‘nakal’ Jorge Pereyra Diaz bersama JDT


  • Podium
  • Selasa, 05 Ogos 2025

Diaz masih kekal dalam ingatan peminat Harimau Selatan yang sukar melupakan karakter dan sumbangannya di atas padang. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SEPANJANG mendominasi arena bola sepak tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah dibanjiri lambakan pemain import yang menjadi 'tulang belakang' di sebalik era kegemilangan pasukan.

Meskipun bintang luar negara pada hari ini cukup digeruni, peminat lebih mengingati barisan import yang menjadi nadi utama kelab pada awal zaman kebangkitan skuad Harimau Selatan.

Salah seorang daripadanya merupakan pemain sayap dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz yang menyertai kelab Selatan tanah air itu pada 2014 dan tidak mengalami sebarang kesukaran untuk menyesuaikan diri.

BACA LAGI: Dua import ikut jejak Pereyra Diaz kembali ke pasukan dengan penuh gaya

BACA LAGI: ‘Budak nakal JDT’ dikaitkan dengan Sabah FC, 3 momen Pereyra Diaz tidak akan dilupakan fans

Dia yang dipinjamkan keluar sebanyak dua kali sepanjang bersama JDT memainkan peranan penting dalam menjadikan pasukan itu cukup digeruni dengan kelincahan dan kebolehannya di hadapan gawang gol lawan.

Tidak terhenti di situ, karakter Diaz yang dikenali sebagai 'budak nakal' terus diabadikan sehingga hari ini dengan pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut menceritakan kesukaran mengawal peribadinya.

Personaliti dan sumbangannya sepanjang empat musim membuatkan penyokong Harimau Selatan terus mengingati bintang dari Argentina tersebut dengan rata-rata daripadanya sempat mengucapkan selamat hari jadi ke-35 buatnya.

Ini termasuk sebuah laman Facebook, BiKem Studio yang mendoakan kesejahteraan buat Diaz yang kini beraksi di India bersama Mumbai City FC sambil menyertakan kisah bagaimana dia tiba-tiba 'ghaib' dari hotel pasukan.

Kejadian tersebut berlaku pada Februari 2018 apabila pemain tersebut bersama-sama skuad Harimau Selatan yang menginap di Singapura sebelum aksi Piala AFC menentang kelab Vietnam, Song Lam Nghe An FC.

Antara momen nakal Diaz sepanjang empat tahun bersama skuad Harimau Selatan.

Hal berkenaan kemudian disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Alistair Edwards yang menyatakan tindakan itu dibuat kerana bekas bintang JDT tersebut berbuat demikian kerana mahu meninggalkan pasukan.

Tindakan Diaz itu kemudian mendesak JDT menyingkirkannya daripada pasukan serta-merta dengan keputusan berkenaan memecahbelahkan penyokong yang ada sebahagian daripada menyokong pilihan tersebut sementara ada yang mempersoalkannya.

Namun, legasi ditinggalkan pemain terbabit terus diingati sehingga hari ini kerana dia merupakan antara tonggak pasukan yang mencipta sejarah menjuarai Piala AFC 2015.

Selepas meninggalkan skuad Harimau Selatan, pemain lincah itu kemudiannya berkelana ke beberapa negara seperti Argentina dan Chile sebelum memilih untuk mempamerkan kebolehannya di India sejak 2022.

Sepanjang tiga tahun di negara Asia terbabit, Diaz mewakili dua kelab iaitu Bengaluru FC dan Mumbai City FC yang merupakan pasukan semasanya dengan beberapa siri kejayaan sudah direkodkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram