Pernah berlatih bersama skuad utama, prospek JDT kini berkelana ke Portugal


  • Podium
  • Isnin, 04 Ogos 2025

Dengan ketinggian 1.92 m eter, Paarveen (belakang, kiri) memiliki kelebihan fizikal yang ideal sebagai pertahanan tengah dan berpotensi bersaing di Eropah. — JST

BEKAS pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim IV (JDT IV), Paarveen Waran kini sah bergelar pemain kelab Portugal selepas menyertai FC Vizela dalam saingan Liga Portugal 2 bagi musim baharu.

Perkembangan itu dikongsikan oleh akaun @HarimauAbroad menerusi hantaran di platform X pada Isnin, sekali gus menjadi pencapaian penting buat pemain muda tanah air itu di peringkat antarabangsa.

“Bekas pertahanan JDT IV, Paarveen Waran telah menyertai FC Vizela dalam Liga Portugal 2,” katanya.

BACA LAGI: Kuota pemain tempatan bertambah tapi siapa sebenarnya dapat peluang sebenar?

BACA LAGI: Drama derbi Utara buka tirai Liga A1, status liga bawahan dapat sambutan lebih meriah

Pemain kacukan Australia-Malaysia itu sebelum ini mencuri tumpuan apabila pernah dipanggil menjalani latihan bersama skuad utama JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor.

Dalam sesi latihan tersebut, Paarveen turut berpeluang menimba pengalaman berharga di samping tonggak import JDT, Oscar Arribas seperti yang dikongsikan di laman Instagram.

Beraksi di posisi pertahanan tengah, Paarveen memiliki kelebihan fizikal dengan ketinggian 1.92 meter dan menjadi salah satu watak penting dalam skuad muda Harimau Selatan ketika itu.

Namanya semakin menjadi perhatian selepas menjaringkan gol dalam kemenangan 3-1 ke atas Penang, sekali gus menonjolkan potensi besar yang dimilikinya.

Langkah Paarveen ke Eropah bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam kariernya, malah memberikan inspirasi kepada ramai pemain muda di Malaysia untuk berani mencuba nasib di pentas bola sepak luar negara.

Kehadirannya di Liga Portugal 2 dijangka mampu mengangkat lagi nama Malaysia di peringkat antarabangsa serta memperluas jaringan pembangunan bakat negara di benua Eropah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram