SIAPA yang tidak kenal dengan pemain kelahiran Argentina, Jorge Pereyra Diaz yang sering menjadi ancaman buat pertahanan lawan apabila dia memegang bola di dalam kotak penalti.
Sebelum kehadiran Bergson da Silva, penyokong setia Johor Darul Takzim (JDT) terlebih dahulu melaungkan nama Diaz di hampir di setiap perlawanan ketika dia menjaringkan gol.
Diaz melakukan debut bersama JDT pada 2014 sebelum berhijrah ke pasukan lain pada musim berikutnya.
Namun pemain berusia 32 tahun itu kembali ke JDT pada 2016 dan bergandingan dengan Juan Martín Lucero sehingga dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Super dengan 18 gol.
Baru-baru ini Diaz kembali menjadi sebutan dalam kalangan peminat bola sepak Asia apabila mempamerkan prestasi cemerlang di saingan Liga Super India (ISL) bersama Mumbai City FC.
Diaz musim ini mewakili Mumbai City di India.
Pemain kelahiran Argentina ini turut membantu Mumbai City menjuarai Liga Super India dengan rekod hanya tewas dua kali dalam 20 perlawanan.
Malah Diaz turut tersenarai antara tiga penjaring terbanyak Liga Super India dengan 11 jaringan gol.
Dengan kecemerlangan Diaz di India, dia kini kembali dikaitkan dengan sebuah pasukan di Liga Super iaitu Sabah FC.
Majoriti senaraikan tiga momen Diaz yang tidak akan dilupakan sepanjang bermain di Liga Super ketika mewakili JDT:
Gandingan Diaz dan Lucero nyata memberikan ancaman buat barisan pertahanan pihak lawan.
1. Penjaring terbanyak Liga Super 2016
Pemain yang pernah memegang status penjaring terbanyak JDT untuk tempoh semusim dengan rekod 18 jaringannya semasa Liga Super 2016, Jorge Pereyra Diaz masih menjadi pemain idaman beberapa Liga Super.
Pada musim 2016, Diaz bersama gandingannya mencatatkan 34 gol untuk JDT yang mana Lucero turut berada di tempat kedua dalam senarai penjaring terbanyak Liga Super.
Namun jodoh Lucero bersama JDT hanya bertahan semusim sebelum dia dijual ke kelab Mexico, Club Tijuana pada musim berikutnya.
Manakala Diaz meninggalkan JDT pada penghujung Februari 2018 di Singapura, sebelum mereka berangkat ke Vietnam bagi saingan Piala AFC.
Diaz didakwa pernah berbalah dengan Ulisses Morais.
2. Bergaduh dengan barisan kejurulatihan JDT
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) mendedahkan Diaz pernah berbalah dengan barisan kejurulatihan JDT semasa dia berada dalam pasukan itu.
TMJ turut menyatakan bekas jurulatih kecergasan JDT, Fernando menjadi punca utama penghasut kepada Diaz hingga menimbulkan perbalahan antara pemain kelahiran Argentina itu dengan bekas jurulatih, Ulisses Morais.
Malah Fernando turut didakwa menjadi 'dalang' yang membawa kepada berlakunya masalah antara pemain dengan tiga jurulatih JDT sebelum ini termasuk Bojan Hodak, Mario Gomez dan Benjamin Mora.
Selepas insiden tersebut, TMJ memecat Fernando daripada skuad Harimau Selatan itu.
Pejabat rasmi JDT.
3. Lari daripada hotel pasukan
Pada 2018, penyokong JDT digemparkan dengan kehilangan penyerangnya, Diaz, yang meninggalkan pasukan sebelum skuad Harimau Selatan berlepas ke Vietnam untuk perlawanan menentang Song Lam Nghe An FC dalam Piala AFC.
Ketika itu, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, mengesahkan Diaz meninggalkan hotel penginapan pasukan di Singapura dan menyampaikan niatnya mahu meninggalkan kelab berkenaan.
Bagaimanapun, Edwards tidak memaklumkan mengenai punca sebenar penjaring terbanyak Liga Super 2016 itu bertindak meninggalkan kelab itu.
Sehinggalah, TMJ mendedahkan punca utama Diaz meninggalkan pasukan kerana mengikuti jejak Fernando yang dipecat oleh pihak pengurusan Harimau Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,