
BELUM lagi sepak mula saingan Liga Super 2025/26 dilakukan, sudah mula kedengaran pelbagai isu yang saban tahun berulang sehingga membuatkan penyokong tawar hati untuk mengikut perkembangan pertandingan tersebut.
Tidak lain tidak bukan, hal yang dibangkitkan adalah berkaitan penangguhan perlawanan melibatkan Sabah FC dan pendatang baharu, Melaka FC yang sepatutnya bertembung di Stadium Likas, Sabah pada 10 Ogos.
Menurut kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Ahad, aksi tersebut terpaksa ditunda ke 29 Ogos depan kerana venue aksi akan digunakan bagi Kejohanan Olahraga Terbuka Masters Sabah.
BACA LAGI: Lepas lamar Wan Rohaimi, Penang wajar pertimbang bawa masuk ‘Mamu’ Sulaiman
Ini merupakan isu yang tidak pernah berkesudahan kerana sepanjang saingan musim lalu, kira-kira 10 perlawanan terpaksa dibawa ke tarikh baharu dengan hujan lebat menjadi faktor utama.
Perkara tersebut sememangnya menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat bola sepak lokal, termasuk Sulaiman Hussin yang sudah cukup berpengalaman dalam dunia kejurulatihan tempatan.
Jelasnya, pihak MFL sepatutnya terlebih dahulu menyedari perkara berkenaan dengan meletakkan Melaka FC sebagai tuan rumah kerana dikhuatiri hal berkenaan akan terus berulang.
"Jika boleh, untuk musim baharu ini, kita kurangkan penangguhan perlawanan dan pastikan ada alternatif lain. Kita tahu venue 'home' adalah Sabah (tak boleh diguna), kenapa tidak pilih di Melaka dahulu? Kalau boleh setuju untuk tangguhkan aksi, kenapa tak boleh bincang tukar venue?
"Untuk menjadikan saingan musim ini lebih lancar, isu sebegini sepatutnya ditangani dengan baik dan dalam masa sama. Jika pada awal lagi sudah ada penangguhan, ia akan terus berjangkit ke kemudian hari," katanya kepada Majoriti.
Dua aksi pertama KRW FC juga ditangguh kerana situasi yang tidak dapat dielakkan.
Isu penangguhan perlawanan turut menimpa saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26 apabila dua aksi melibatkan Kelantan Red Warriors (KRW) FC berdepan Selangor FC II (2 Ogos) dan Seoul Phoenix FC (9 Ogos).
Tetapi, tamparan lebih hebat sudah tentu dirasakan MFL apabila kegagalan mengelak situasi sedemikian membuatkan penyokong tidak lagi teruja untuk mengikuti perkembangan liga.
Jelas Sulaiman lagi, isu tersebut tidak membawa sebarang kelebihan dari segi waktu rehat pasukan, malah menyukarkan lagi perancangan barisan kejurulatihan yang terpaksa mengubah penjadualan.
"Sebenarnya, penangguhan ini tidak memberi kelebihan tetapi hanya beri tekanan. Saya berharap jadual musim ini akan lebih berbanding sebelum ini," katanya lagi.
Jurulatih tersebut semestinya pernah terlibat dalam situasi itu kerana semasa bergelar pembantu kepada Irfan Bakti Abu Salim di Kuching City FC, perkara berkenaan berlaku beberapa kali.
Meskipun kadang-kala punca di sebaliknya tidak boleh dielak, pengurusan kelab dan MFL sepatutnya mempunyai perancangan tersendiri bagi mengelak situasi tersebut daripada berlanjutan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram