[VIDEO] Terlepas ke final, Sulaiman Hussin terima dengan hati terbuka, cadang 7s diadakan di Malaysia


  • Podium
  • Isnin, 14 Okt 2024

Sebahagian aksi menarik ketika benteng pertahanan pasukan Malaysia diserang bertubi-tubi oleh Jepun (jersi biru).

IMPIAN pasukan bola sepak 7 Sebelah (7s) Malaysia untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak 7's Asia tidak kesampaian selepas tewas 0-3 di tangan Jepun dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di EV Arena, Elmina, Shah Alam, Selangor pada Sabtu.

Dalam aksi tersebut, Malaysia dilihat melancarkan serangan demi serangan namun gagal memecahkan kekebalan benteng pertahanan Jepun yang enggan membenarkan pintu gawang mereka ditembusi.

Meskipun menurunkan beberapa pemain berpengalaman tanah air antaranya Indra Putra Mahayuddin, Razman Roslan dan Manaf Mamat namun kekuatan Jepun dalam aksi tersebut sukar dipatahkan oleh skuad Malaysia.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Friendly match saja pun', fans The Rhinos bengang aksi pemain Tawau FA 'makan' Saddil Ramdani

BACA LAGI: [VIDEO] STL 2024: KL Thunder lakar hatrik tawan GP Perak tapi fans tak restu 'killer' pilihan milik Perak Bison

WhatsApp Image 2024-10-14 at 13.59.57

Malaysia tewas 0-3 kepada Jepun dan gagal mara ke final Kejohanan Bola Sepak 7s Asia.

Begitupun, Malaysia yang dibimbing oleh Sulaiman Hussin itu tetap berpuas hati dengan persembahan yang ditampikan oleh anak-anak buahnya.

"Pada saya kekalahan semifinal kepada pasukan Jepun, boleh saya terima dengan hati terbuka kerana pemain-pemain telah menunjukkan permainan yang sehabis baik dengan komitmen dan semangat tinggi.

"Dengan segala apa yang mereka berikan, saya tak dapat nak minta lebih. Kita akui Jepun sebuah pasukan yang sangat baik, lengkap dan mereka sudah terbiasa dengan permainan 7s ini," katanya kepada Majoriti.

Meskipun gagal menempah tiket ke final, Sulaiman bagaimanapun tetap berbangga dengan pencapaian pasukannya itu apabila berjaya mara ke separuh akhir.

"Ini adalah pertandingan yang baru untuk kami dan layak ke separuh akhir adalah satu pencapaian yang pada saya membanggakan semua kem pasukan kebangsaan.

"Saya rasa walaupun dengan masa singkat yang kita ada untuk prepare, pemain-pemain telah memberi kerjasama yang baik dan ada kesefahaman.

"Walaupun tak mencapai 100 peratus keserasian dalam padang tapi saya rasa saya sangat berpuas hatilah dengan sumbangan semua pemain dan terutamanya daripada pemain-pemain senior seperti Indra Putra, Razman dan Manaf yang menunjukkan contoh untuk pemain-pemain muda," ujarnya.

Menurutnya lagi, kehadiran pemain berpengalaman tanah air itu banyak membantu pasukannya beraksi cemerlang meskipun tidak memiliki masa yang cukup untuk membuat persediaan.

"Ini sebenarnya sedikit telah meringankan beban saya pada masa yang tak cukup ini dengan kehadiran mereka telah melengkapkan missing puzzle itu dan akhirnya kita mempamerkan prestasi yang pada saya baik sepanjang kejohanan dan bukan rezeki kita ke final apabila bertemu Jepun di semi final terlebih dahulu.

"Kalau kami jumpa pasukan lain Insya-ALLAH kita boleh pergi lebih jauh tapi untuk pertama kali untuk layak ke separuh akhir saya sangat berpuas hatilah," kongsinya.

Sulaiman turut mencadangkan agar Kejohanan 7s itu perlu diadakan di Malaysia bagi memberi peluang kepada peminat tanah air untuk menceburi Liga Profesional itu.

"Saya berharap kalau boleh Liga 7s ini dapat dipopularkan di Malaysia dan sekiranya kita ada Liga Profesional kita sendiri, Liga 7s ni mungkin akan memberi banyak manfaat kepada peminat-peminat di tanah air.

"Hal ini kerana di India dan Jepun, memang benda ni popular, jadi, ada alternatif kepada peminat-peminat di tanah air untuk meminati sukan selain daripada Liga Malaysia," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram