
LIVERPOOL kini berada dalam situasi genting apabila Ibrahima Konate masih belum menandatangani kontrak baharu, menimbulkan kebimbangan bahawa pemain utama itu mungkin akan membiarkan kontraknya tamat selepas pemergian Trent Alexander-Arnold pada musim panas ini.
Bek tengah Perancis berusia 26 tahun itu dijangka memasuki tahun terakhir kontraknya bulan depan tetapi difahamkan dia sudah menolak tawaran awal lanjutan kontrak yang dikemukakan oleh Liverpool.
Rundingan kontrak sebelum ini ditangguhkan berikutan fokus kelab kepada perbincangan dengan Mohamed Salah dan Virgil van Dijk musim lalu, yang kedua-duanya berjaya menandatangani kontrak baharu selama dua tahun pada April lalu.
BACA LAGI: Man United mungkin kena 'sailang', Osimhen kini dalam radar Liverpool tukar dengan duo 'flop'
Setelah itu, perhatian kelab beralih kepada memperbaharui kontrak Konate. Bagaimanapun, Konate dilaporkan kecewa dengan struktur tawaran Liverpool yang lebih menumpukan kepada pencapaian prestasi tertentu dan wakilnya didakwa menuntut gaji asas lebih tinggi.
Sekiranya tiada persetujuan dicapai sebelum penghujung musim panas ini, Liverpool berdepan dilema besar terutamanya selepas kontroversi perpindahan Alexander-Arnold ke Real Madrid yang menyaksikan kelab itu hanya memperoleh £10 juta (RM55 juta), jauh lebih rendah daripada nilai sebenar pemain itu.
Liverpool merancang untuk meneruskan rundingan dengan Konate pada penghujung musim panas, tetapi pihak pengurusan The Reds menegaskan bahawa mereka tidak akan terpaksa membayar melebihi kemampuan.
Keadaan itu juga sebenarnya memberi kelebihan kepada Real Madrid untuk mengikatnya apabila sebelum ini, pemain berusia 26 tahun berkenaan menarik minat pasukan gergasi La Liga berkenaan.
Huijsen menyertai Real Madrid pada jendela musim panas ini. — Agensi
Bagaimanapun, bermain untuk Real Madrid dalam masa terdekat ini akan merugikan Konate dari segi minit permainan susulan skuad Los Blancos mempunyai lambakan bek tengah berkualiti seperti Dean Huijsen, Raul Asencio, Eder Militao, Antonio Rudiger dan David Alaba.
Sekiranya risau tidak menjadi pemain utama di Real Madrid, Konate boleh mempertimbangkan alternatif bermain bersama Manchester United susulan kelab tersebut juga memerlukan bek tengah berpengalaman.
Dengan Lisandro Martinez terus bergelut dengan isu kecederaan, pengurusan Man United seharusnya melihat peluang untuk menyambar Konate sebagai pengganti bek tengah Argentina berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram