Liga A1 jadi tempat berkumpul jurulatih gred Liga Super


  • Podium
  • Ahad, 03 Ogos 2025

Syamsul (kiri) dan Gamel (kanan) antara jurulatih gred Liga Super yang mengendalikan kelab Liga A1 musim ini.

SEPAK mula Liga A1 sudah bermula pada Sabtu dengan ia dilihat sebagai persaingan paling kompetitif dalam sejarah penganjurannya.

Sebanyak 16 pasukan bertanding dengan beberapa nama merupakan kelab berstatus negeri dan itu pastinya menarik perhatian ramai.

Liga A1 turut menjadi tempat berkumpulnya beberapa jurulatih bergred Liga Super yang akan menjadi penambah rasa kepada drama merebut kejuaraan.

BACA LAGI: Baru saja dilantik, Syamsul Saad sudah dapat 'lampu hijau' penyokong kemudi Perak FA

BACA LAGI: Azzmi Aziz kembali ke Utara, Sang Kenari bakal jadi 'giant killer'

Syamsul Saad

Siapa yang tidak kenal dengan Syamsul Saad? Satu nama yang cukup besar dalam bola sepak Malaysia dan secara khususnya di Perak.

Merupakan legenda sebagai pemain dan jurulatih, kepulangan Syamsul untuk membimbing skuad Perak FA yang serba muda demi menghadapi Liga A1 dan persiapan menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Syamsul merupakan ikon bola sepak Perak.

Rekod Syamsul bersama-sama Perak FA berada di kelas yang baik kerana pernah membawa skuad Seladang ke separuh akhir Piala FA pada 2016.

Selain itu, Syamsul juga merupakan seorang pengendali yang tiada masalah menguruskan barisan pemain muda dengan baik.

Azzmi Aziz

Musim ini, penyokong bola sepak tempatan akan melihatkan dua pasukan berpangkalan di Kedah bakal bermain di Liga A1.

Salah satunya adalah Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan mereka melantik Azzmi Aziz sebagai pengendali.

Azzmi ada tugas penting naikkan semula maruah KDA.

Azzmi turut mempunyai pengalaman luas di Liga Super dengan dia paling diingati ketika menguruskan PDRM FC pada musim 2023 apabila dia menjadikan Sang Saka Biru sebuah kelab dark horse.

Dia juga pernah bersama Negeri Sembilan FC pada awal musim 2024/2025 sebelum dilepaskan daripada jawatan itu.

Christophe Gamel

Satu lagi nama yang bakal menjadi tumpuan adalah pengendali dari Perancis, Christophe Gamel yang mengendalikan Selangor FC II.

Pelantikannya dilakukan secara tertutup oleh pengurusan Selangor dengan skuad kedua Gergasi Merah itu sebelum ini dilatih oleh pengendali dari Belanda iaitu Abdi Hassan.

Gamel pernah menguruskan Sri Pahang.

Akan tetapi, kelibat Gamel mula kelihatan secara jelas apabila skuad Selangor II beraksi dalam kejohanan Soccer 7s Series di Singapura pada Julai lalu.

Pelantikan bekas jurulatih Sri Pahang pada 2021 sebagai jurulatih baharu Selangor II kemudiannya disahkan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor, Datuk Seri Shahril Mokhtar pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram