
KEDAH Darul Aman (KDA) FC mengumumkan kehadiran Azzmi Aziz sebagai pengendali baharu pasukan selepas ketua jurulatih sebelum ini, Victor Andrag memilih untuk ke Kedah FA.
Azzmi yang musim lalu mengendalikan Negeri Sembilan FC dilantik skuad Sang Kenari dengan pengalaman dimiliki sepanjang berada dalam Liga Super mampu membawa pasukan itu ke tahap lebih tinggi dalam Liga A1 Semi Pro.
"KDA FC dengan bangga mengumumkan pelantikan Azzmi Aziz sebagai ketua kurulatih baharu. Berusia 48 tahun, dia memiliki lesen AFC Pro dengan pengalaman lebih 15 tahun mengendalikan pasukan Liga Super, Liga Perdana dan skuad Piala Presiden.
BACA LAGI: Tinggal 1 'nyawa', Sri Pahang bakal tamatkan karier Azzmi Aziz di NSFC?
BACA LAGI: Azzmi kecewa, kesalahan individu hukum skuad Jang
Azzmi Aziz secara rasmi dilantik pengendali baharu skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
"Antara kejayaannya ialah membimbing PDRM FC mencatat kemenangan berprofil tinggi dalam Liga Super 2023. Dia juga pernah menjadi ketua jurulatih Negeri Sembilan FC dan pengendali Piala Presiden Negeri Sembilan," tulis kelab itu.
Semasa mengendalikan skuad Sang Saka Biru, Azzmi pernah diberi julukan 'The Giant Killer' kerana pernah menundukkan pasukan lebih berkualiti tanpa memerlukan bajet besar.
Ini termasuk Selangor FC dan Sabah FC dalam saingan Liga Super 2023, namun tidak berpeluang menamatkan kempen apabila digugurkan pada pertengahan musim berikutan isu pengurusan.
Sentuhan berbisa itu bagaimanapun gagal diteruskan sepanjang bersama Negeri Sembilan FC kerana dia hanya sempat bertugas untuk kira-kira empat bulan sebelum digantikan K Nanthakumar.
Tiga lagi jurulatih diperkenalkan dalam barisan skuad Sang Kenari bagi kempen akan datang. — Facebook/KDA FC
Kehadirannya dalam Liga A1 Semi Pro musim depan akan menyaksikan pertandingan itu lebih meriah memandangkan terdapat lambakan jurulatih dengan profil saingan tersebut.
Ini termasuk Irfan Bakti Abu Salim yang mengendalikan Kelantan Red Warriors (KRW) FC sementara Andrag yang pernah bersama KDA FC akan membimbing Kedah FA seperti mana disahkan sebelum ini.
Dalam hantaran berbeza tidak lama selepas itu, KDA FC turut mengumumkan kehadiran tiga jurulatih baharu yang akan membantu Azzmi dalam pertandingan berstatus semi-pro tersebut.
"KDA FC dengan bangga mengumumkan barisan kejurulatihan baharu untuk memperkukuh pasukan musim ini. Mereka merupakan Kamal Daut sebagai penolong ketua jurulatih, Ahmad Nizan sebagai jurulatih kecergasan sementara posisi jurulatih penjaga gol bakal diisi Abd Rasid.
"Dengan pengalaman, kepakaran dan semangat Hijau Kuning, mereka bersedia membawa Sang Kenari terbang lebih tinggi musim ini," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram