
KEHADIRAN dua jurulatih tempatan berpengalaman dalam kancah bola sepak tanah air diyakini mampu memberi nafas baharu kepada pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026.
Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) diperkukuh dengan sentuhan bekas pengendali skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan, E. Elavarasan.
Manakala Eddy Gapil pula kekal bersama skuad The Cops, namun kini diberi kepercayaan selaku Ketua Jurulatih utama selepas sebelum ini berperanan sebagai pembantu jurulatih dan interim.
BACA LAGI: NFA tak bermakna kes serangan asid Faisal Halim tidak boleh disiasat lagi — Azalina
BACA LAGI: Ramai tahu nombor 10 Selangor ini ada sejarah tersendiri — Mukhairi
Kelantan TRW kini dibimbing oleh Elavarasan dalam menghadapi saingan Liga Super musim 2025/2026. — Facebook/KelantanTRW
Pelantikan kedua-duanya dilihat sebagai langkah strategik dalam usaha memperbaiki prestasi pasukan masing-masing, meskipun berdepan keterbatasan dari segi sumber pemain dan kekuatan kewangan.
Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley, kedua-dua pengendali berkenaan memiliki latar belakang yang kukuh untuk membawa kestabilan dan prestasi kompetitif, walaupun dengan kekangan sumber sedia ada.
"Pendapat saya, kedua-dua jurulatih ini ada reputasi tersendiri. Misalnya Eddy Gapil, beliau sudah lama dengan PDRM, daripada pembantu kepada interim dan kini jurulatih utama. Beliau tahu apa yang diperlukan PDRM.
"Untuk coach Ela. Siapa dapat menafikan beliau? Mungkin rekod bersama skuad pembangunan kebangsaan agak kurang.
"Tetapi bagi saingan domestik, saya rasa sudah cukup untuk beliau jadikan Kelantan lebih berdaya saing," katanya kepada Majoriti.
PDRM FC kini dibimbing oleh Eddy Gapil (lima,kiri). — Facebook/PDRMFC
Mengulas mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang wajar ditetapkan untuk kedua-dua jurulatih, beliau berpendapat ia harus mengambil kira keadaan sebenar pasukan, termasuk tahap kewangan dan kualiti pemain.
"Pada saya kena lihat situasi juga. Kalau dapat pemain yang biasa-biasa dan kewangan biasa-biasa tak boleh harapkan lebih.
"Cukup aksi berkualiti dan elak kekalahan atau hilang mata pada perlawanan berpotensi menang," ujarnya.
Tambah Afiq, dia turut menasihatkan agar penyokong Kelantan TRW dan PDRM FC tidak terburu-buru meletakkan sasaran tinggi seperti kelompok tiga teratas atau kelayakan ke kejohanan Asia.
"Tak logik. Sasaran tinggi seperti apa? Top 3? Slot Asia? Dengan apa dimiliki dua pasukan ini, sudah kira suatu kejayaan jika mampu berada di tangga kelima terbaik," tambahnya.
Kedua-dua pasukan dijangka menghadapi cabaran getir musim ini, namun harapan tetap disandarkan kepada kredibiliti dan pengalaman jurulatih masing-masing untuk mencorak kebangkitan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram