Pundit: Bukan keputusan mudah, Farizal Marlias bincang sama keluarga, fikir lebih seminggu


  • Podium
  • Sabtu, 02 Ogos 2025

Farizal mengakui keputusan untuk menceburi dunia baharu itu bukanlah mudah untuk dibuat.

DUNIA pengulasan arena bola sepak tempatan semakin meriah selepas Astro sebagai rakan penyiar Liga Super 2025/26 mengumumkan kehadiran dua pundit baharu iaitu Farizal Marlias dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Kedua-dua bekas pemain itu sememangnya cukup berpengalaman kerana selain pernah mewakili pelbagai kelab tempatan, mereka juga mempunyai kaps di pentas antarabangsa dalam zaman berbeza.

Perhatian utama sudah tentu ditujukan kepada Farizal yang pertama kali menceburi dunia berkenaan sementara Akmal Rizal sebelum ini pernah bergelar pundit untuk Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

BACA LAGI: ACL Elite: Farizal Marlias optimis JDT mara lebih jauh kali ini

BACA LAGI: Dapat sokongan TMJ lepas 'kisah gelap' antara 3 momen penting Farizal Marlias bersama JDT

Farizal juga pernah mencurahkan bakti buat skuad kebangsaan beberapa tahun lalu.

Kebolehan bekas penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) tersebut untuk membuat ulasan tanpa unsur berat sebelah sememangnya dinanti-nantikan kerana orang ramai mahu melihat pandangan kritisnya dalam dunia bola sepak tempatan.

Namun, bagi Farizal sendiri, keputusan menceburi dunia itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana dia mengambil masa untuk memikirkan hal itu sebelum kata putus dapat diberikan.

"Saya tak pernah terfikir untuk berada dalam arena pengulasan dan saya hanya menerima (tawaran) pundit ini kerana ia masih berlandaskan dunia bola sepak. Saya ada pengalaman dan sebagainya, jadi saya ingin kongsi kepada semua.

"Pada awalnya, saya mengambil masa agak lama untuk membuat keputusan menerimanya dan selepas saya berbincang bersama keluarga, saya terima dengan alasan ia masih berkait dengan bola sepak," katanya kepada Majoriti.

Selain perlu berbincang bersama individu yang rapat dengannya, penjaga gol berpengalaman itu turut mengambil masa lebih dari seminggu sebelum dapat memberi kata putus.

Farizal sebelum ini diumumkan tidak akan lagi bersama skuad Harimau Selatan bagi musim 2025/26 selepas sembilan musim di Selatan tanah air dengan pelbagai trofi pernah diraih.

Farizal (kiri) akan disertai Akmal Rizal sebagai dua wajah baharu dalam barisan pundit baharu Liga Super 2025/26.

Bagaimanapun, hala tujunya tidak dapat dipastikan kerana bekas penjaga gol negara terbabit belum mengumumkan persaraan meskipun usianya sudah mencecah 39 tahun.

Dalam pada itu, Farizal yang merupakan bintang kelahiran Maran, Pahang mengakui cabaran dan risiko menjadi sasaran cemuhan dan kritikan peminat pasti akan dihadapinya.

"Saya fikir positif, saya hanya ingin berkongsi pengalaman dan hal ini merupakan sesuatu yang baharu. Saya boleh nyatakan saya tidak begitu yakin di hadapan lensa kamera, jadi ini bukan sesuatu perkara mudah.

"Jadi, saya akan mengharapkan bantuan rakan-rakan saya untuk mengurangkan rasa gemuruh kerana sebelum ini, saya hanya ditemu bual ringkas sebelum perlawanan dan ini akan menjadi perkara baharu buat saya," katanya lagi.

Selain Akmal Rizal dan Farizal, barisan pundit bagi musim 2025/26 turut menampilkan nama-nama besar seperti Datuk Zainal Abidin Hassan, Norshahrul Idlan Talaha serta Safee Sali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram