Langkah bijak Perak FA lantik Syamsul Saad, guna pemain muda, cuma janganlah terburu-buru — Kenny Pallraj


  • Podium
  • Khamis, 31 Jul 2025

Kenny menghabiskan beberapa musim yang cukup bermakna di negeri kelahirannya.

KEGAGALAN Perak FC memperoleh lesen kebangsaan untuk beraksi dalam saingan Liga Super 2025/26 tidak menandakan penamat terhadap perkembangan bola sepak di negeri itu.

Bagaimanapun, enggan melihat perkara itu berlarutan tanpa solusi, Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) tampil menyediakan penyelesaian apabila mengambil keputusan menghantar pasukan ke dalam Liga A1 Semi Pro.

Langkah diambil itu didorong dengan alasan bagi memastikan bakat muda Perak menerima minit permainan kompetitif yang secara tidak langsung menghidupkan semula zaman kegemilangan bola sepak di negeri itu.

BACA LAGI: 'Bola sepak Malaysia masih dijajah,' Kenny Pallraj berdepan hukuman

BACA LAGI: Kenny Pallraj berdepan penggantungan, denda

Skuad TBG pasti akan dirindui dalam saingan Liga Super musim depan. Facebook/Perak FC

Keputusan itu menerima respons baik daripada peminat bola sepak tempatan, termasuk bekas pemain skuad The Bos Gaurus (TBG), Kenny Pallraj yang masih ligat beraksi bersama Kuala Lumpur (KL) City FC.

Jelasnya, keputusan menyertai Liga A1 Semi Pro 2025/26 adalah cukup baik sambil menyatakan setiap langkah diambil tidak boleh disegerakan jika mahu melihat hasil terbaik.

“Saya rasa sedih apabila dapat tahu Perak tiada lagi dalam Liga Super, tetapi langkah bagus untuk bermula dari bawah dengan pemain muda. Cuma, saya harap projek ini jangan dibuat secara terburu-buru.

"Berilah mereka masa untuk wujudkan batu asas terbaik, kembali ke divisyen teratas dan jadi kompetitif kembali," katanya kepada Majoriti.

Keputusan mendapatkan khidmat Syamsul Saad sebagai pengendali cukup baik. Facebook/Perak FA

Setakat ini, Perak FA hanya membawa masuk bintang muda yang sebelum ini beraksi dalam Piala MFL bersama skuad muda TBG dengan peluang beraksi dalam Liga A1 Semi Pro diharapkan mampu memberi perubahan.

Ini kerana saingan kelolaan Liga Bola Sepak Amatur itu turut disertai beberapa kelab digeruni seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC serta tiga pasukan pelapis, termasuk Selangor FC II dan Johor Darul Ta'zim (JDT) II.

Meskipun tahu cabaran dihadapi, Perak FA kelihatan bersedia kerana sudah mempersiapkan pasukan, termasuk melantik barisan kejurulatihan terbaik yang akan diketuai Syamsul Saad.

"Saya rasa ini merupakan pendekatan bagus kerana seperti mana diketahui, pasukan ini tidak mempunyai kewangan kukuh. Jadi, kita dirikan pasukan dengan hanya apa yang ada.

Skuad TBG dibarisi pemain muda yang diharapkan mampu meneruskan legasi pasukan. Facebook/Perak FA

"Coach Syamsul pun sudah lama bersama Perak dan sudah pasti memahami jiwa dan gaya pasukan. Oleh itu, saya rasa dia boleh tubuhkan pasukan dan secara perlahan mampu bergerak ke depan," katanya.

Kenny merupakan antara produk terbaik bola sepak Perak kerana juga menjadi watak terbaik ketika kelab terbaik menjuarai Piala Malaysia 2018 yang merupakan gelaran terakhir pasukan.

Pemain tengah itu kemudian berkelana ke Lembah Klang selepas isu pengurusan menyaksikan pasukan itu tergelincir ke Liga Perdana 2022 berikutan masalah pengurusan dan dalaman yang dialami.

Bagaimanapun, meskipun turut mencatatkan momen berharga bersama skuad Warga Kota, Kenny masih cukup dekat dengan Perak yang merupakan pasukan terawal dalam karier pemain terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram