
NAMA Farizal Marlias bukanlah asing dalam dunia bola sepak tempatan dengan pelbagai pencapaian yang telah mewarnai perjalanan kariernya.
Penjaga gol berpengalaman itu secara rasmi menamatkan kariernya bersama pasukan gergasi Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), selepas hampir sedekad beraksi bersama kelab tersebut dari2015 hingga musim 2024/25.
Sepanjang tempoh itu, Farizal membantu JDT meraih 28 kejuaraan termasuk 10 kali juara Liga Super, lima kali menjuarai Piala Malaysia, empat Piala FA, lapan Piala Sumbangsih serta satu kejuaraan berprestij di peringkat Asia iaitu Piala AFC 2015.
BACA LAGI: Tinggalkan Sabah FK, 3 sebab Irazabal perlu pilih The Rhinos berbanding JDT
Penjaga gol berpengalaman JDT, Farizal Marlias. — Facebook/JST
Kejayaan di pentas Asia melalui Piala AFC 2015 menjadi detik bersejarah yang turut mengukuhkan status Farizal sebagai salah satu penjaga gol terbaik kebangsaan.
Sejak menyertai JDT, beliau menjadi tonggak utama skuad Harimau Selatan dan memainkan peranan besar dalam era dominasi kelab itu di dalam dan luar negara.
Sepanjang kariernya bersama JDT, Farizal mencatat 222 penampilan dan merekodkan 102 cleansheet, dengan aksi terakhirnya direkodkan pada 16 Disember 2023 ketika menentang Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
Sebagai penghormatan kepada legasi yang ditinggalkan, Majoriti menyenaraikan tiga kenangan manis yang pasti terpahat dalam memori Farizal sepanjang bergelar benteng terakhir Harimau Selatan.
1) Terima sokongan TMJ
Masihkah anda ingat insiden kontroversi membabitkan Farizal yang pernah menggemparkan arena bola sepak tanah air?.
Pada 31 Mei 2017, penjaga gol berusia 39 tahun itu dikenakan hukuman gantung 12 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas didapati bersalah mengasari pengadil dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFC Zon Asia Tenggara.
Farizal ketika itu melanggar Perkara 47.1.2, dibaca bersama Perkara 49.1.2 dan 50.1 dalam Kod Tatatertib AFC, susulan tindakannya menolak pengadil dari China, Fu Ming, pada penghujung perlawanan menentang Ceres Negros FC dari Filipina di Bacolod City.
Farizal pernah digantung selama 12 bulan akibat mengasari pengadil perlawanan. — Facebook/JST
Akibat insiden itu, Farizal dilayangkan kad merah, manakala JDT tewas 1-2, sekali gus tersingkir berdasarkan peraturan gol di tempat lawan setelah agregat terikat 4-4.
Selain penggantungan, Farizal turut didenda sebanyak AS$40,000 (RM170,567). Hukuman itu merangkumi larangan bermain dalam semua perlawanan sama ada domestik, antarabangsa, rasmi atau persahabatan di seluruh Asia.
Namun begitu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, tampil mempertahankan Farizal dan menyeru penyokong agar tidak melatah terhadap kekalahan pasukan ketika itu, sebaliknya kekal memberi sokongan.
2) Raih domestik treble
Farizal merupakan antara pemain utama dalam skuad Harimau Selatan yang mencipta sejarah meraih tiga kejuaraan domestik utama, Liga Super Malaysia, Piala FA dan Piala Malaysia dalam satu musim iaitu pada tahun 2022.
Kejayaan tersebut menjadi detik bersejarah buat JDT kerana ia merupakan kali pertama kelab itu menjuarai kesemua trofi utama domestik dalam satu musim.
Sebagai kapten dan penjaga gol utama, Farizal memainkan peranan penting dalam pencapaian gemilang ketika itu.
Musim treble tersebut lebih bermakna apabila JDT akhirnya berjaya menjulang Piala Malaysia buat kali pertama sejak 2019, sekali gus menebus kekalahan mereka dalam perlawanan akhir edisi sebelumnya kepada Kuala Lumpur City FC.
Farizal menyertai JDT pada musim 2015. — Facebook/JST
3) Diiktiraf penjaga gol terbaik AFC
Penjaga gol Harimau Selatan Farizal pernah mencuri tumpuan di peringkat Asia apabila dicalonkan dalam kategori Penjaga Gol Terbaik dalam Kesebelasan Utama Sepanjang Zaman Piala AFC oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Lebih membanggakan, Farizal menjadi satu-satunya wakil dari Asia Tenggara dalam senarai tersebut yang didominasi oleh penjaga gol dari negara-negara Arab.
AFC memuji Farizal sebagai pemain dalam kelas tersendiri berikutan aksi cemerlangnya yang membantu skuad Harimau Selatan meraih kejuaraan Piala AFC pada tahun 2015.
Di peringkat individu, Farizal turut mencatat pencapaian gemilang dengan memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik Kebangsaan sebanyak lima kali dan diiktiraf sebagai penjaga gol terbaik Asia Tenggara dalam Kesebelasan Terbaik Sepanjang Zaman Piala AFC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram