Ramai tahu nombor 10 Selangor ini ada sejarah tersendiri — Mukhairi


  • Podium
  • Khamis, 31 Jul 2025

Mukhairi menyeru kepada penyokong Selangor FC supaya terus memberikan sokongan padu kepada pasukan musim depan. — Facebook/Selangorfc

BINTANG muda Selangor FC, Mukhairi Ajmal mengakui tanggungjawab menyarung jersi nombor 10 dan memimpin pasukan bukanlah tugas yang mudah.

Menurut pemain berusia 24 tahun itu, jersi keramat berkenaan yang pernah disarung oleh legenda-legenda Selangor termasuk Allahyarham Mokhtar Dahari membawa nilai simbolik serta tanggungjawab yang tinggi.

"Sejujurnya, memang berat. Ramai tahu nombor 10 Selangor ini ada sejarah tersendiri, jadi bagi saya, tanggungjawab itu sangat besar.

BACA LAGI: 'Bukan kekuatan sebenar', Selangor terus yakini Kinoshi, berani tampilkan bakat lokal harungi aksi pramusim

BACA LAGI: 'Apa saja boleh berlaku', bintang muda Gergasi Merah mahu beri saingan terbaik lawan JDT

Selain menyarung jersi keramat, Mukhairi (kiri) turut diberi kepercayaan menyarung lilitan kapten. — Facebook/Selangorfc

"Tapi saya tak anggap ia satu beban. Sebaliknya, saya anggap ini amanah dan saya akan cuba berikan yang terbaik untuk pasukan,” katanya.

Mukhairi berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara Selangor FC dan Provident Fiduciaries Berhad (PFB) yang berlangsung di Bin Zayed International, Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur, pada Rabu.

Mengulas mengenai sasaran musim 2025, Mukhairi berkata, dia akan terus fokus mengikut perancangan secara berperingkat, namun tetap menjadikan kejayaan pasukan sebagai keutamaan.

"Bagi saya, saya ikut step by step. Kita tahu memang semua orang nak piala, tapi kita tahu tahap saingan sangat tinggi.

Mukhairi berharap agar penyokong Gergasi Merah terus memberikan sokongan kepada pasukan. — Facebook/Selangorfc

"Apa-apa pun, dalam bola sepak kita kena sentiasa beri yang terbaik. Sekurang-kurangnya, kita harap dapat raih satu kejuaraan musim ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mukhairi turut menyeru penyokong Selangor FC supaya terus memberikan sokongan padu kepada pasukan, serta bersabar memberi ruang kepada barisan pemain untuk mencapai prestasi konsisten di bawah kendalian jurulatih baharu, Katsuhito Kinoshi.

“Untuk semua penyokong Selangor, saya harap anda terus beri sokongan.

"Insya-ALLAH, kami akan cuba sedaya upaya bawa kejayaan kepada pasukan. Doakan yang terbaik untuk Selangor musim ini,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram