
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan tiga kelab iaitu DPMM FC, Kelantan The Real Warriors (TRW) FC dan Imigresen FC perlu mencari venue lain untuk dimainkan semasa sambutan bulan Ramadan.
Perkara tersebut dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik kerana venue di Brueni dan Kelantan tidak dapat digunakan sementara Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang milik Imigresen FC tidak boleh digunakan pada waktu malam.
"Kita sudah memaklumkan kepada beberapa kelab, termasuk DPMM FC, Kelantan TRW FC dan Imigresen FC di mana jika dilihat kepada jadual dikeluarkan, kelab-kelab ini akan beraksi sebagai pasukan 'home' pada bulan Ramadan.
Imigresen FC yang akan beraksi di Stadium Batu Kawan juga perlu mencari alternatif tersendiri.
"Seperti mana sedia maklum, stadium di Kelantan dan Brunei tidak dapat digunakan sementara Imigresen FC tidak boleh digunakan pada malam kerana isu lampu limpah," katanya.
Isu berkenaan dinyatakan ketika majlis perasmian kerjasama antara badan pengelola Liga Super itu dengan Genius Sports di Wisma FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), Selangor pada Khamis.
Keputusan untuk tidak memberikan penggunaan stadium di Kelantan bukanlah sesuatu yang baharu kerana sejak beraksi dalam Liga Super, kerajaan negeri tersebut bertegas akan pendirian berkenaan.
Meskipun berdepan pertikaian daripada kelab lain, pasukan Pantai Timur itu masih teguh dengan keputusan tersebut dengan penyokong mereka juga tidak melihat hal itu sebagai isu besar.
DPMM FC yang beraksi di Brunei tidak boleh manjadi pasukan 'home' jika tidak dapat mencari venue berbeza.
Jadi, menyedari hal tersebut, pihak MFL mengarahkan pihak pengurusan ketiga-tiga kelab tersebut supaya mencari venue alternatif ketika sambutan Ramadan bagi memastikan kelancaran Liga Super 2025/26.
"Ada kemungkinan mereka akan beraksi sebagai pasukan 'away', namun tidak digalakkan kerana kita perlu menjaga kestabilan satu 'home' dan satu 'away' buat sesebuah pasukan.
"Ini ditambah pula dengan Piala FA yang tidak diketahui mereka akan beraksi di laman sendiri dahulu atau sebaliknya. Jadi, MFL menggalakkan venue alternatif dengan sebagai contoh, stadium sekitar Pahang boleh dipilih Kelantan TRW FC," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram