
BERDASARKAN senarai 27 pemain dipanggil bagi aksi menentang Nepal, tiada nama-nama yang kerap memikul peranan penyerang utama Harimau Malaya yang pasti menjadi komponen utama buat Peter Cklamovski.
Jurulatih yang kerap menggunakan formasi 4-2-3-1 itu pasti memerlukan bintang seperti Darren Lok yang bagaimanapun tidak dipanggil sementara dua lagi pemain di posisi itu, Romel Morales dan Haqimi Azim kerap diletakkan di posisi sayap semasa beraksi di peringkat kelab.
Ketiadaan penyerang sebenar sudah tentu merencatkan perancangan pengendali dari Australia itu yang mahu membuktikan kualiti sebenar dalam tugasan pertamanya buat skuad kebangsaan.
BACA LAGI: 'Terima kasih atas setiap detik', Safee Sali buka harga jersi Pelita Jaya
BACA LAGI: [VIDEO] Safee Sali 'benci' bek import Sang Penyu, akui JDT pernah alami kesukaran di Terengganu
Paulo Josue boleh diturunkan sebagai penyerang utama skuad kebangsaan. — Facebook/FAM
Masalah itu turut diakui legenda bola sepak negara, Safee Sali yang beranggapan pemain di posisi tersebut sukar untuk dicari ketika ini, namun percaya tugasan mencetak jaringan boleh dipikul ramai pemain lain.
"Penyerang tulen atau juga dikenali sebagai 'out-and-out striker' sukar dicari, lebih-lebih lagi dalam kalangan pemain tempatan. Ini adalah posisi penting untuk diisi.
"Tetapi, kita masih bernasib baik kerana Harimau Malaya memiliki pemain tengah menyerang serta penyerang sayap yang masing-masing prolifik untuk memburu gol," katanya.
Bekas penyerang kebangsaan itu turut meletakkan beberapa contoh seperti kapten Kuala Lumpur (KL) City FC, Paulo Josue dan tonggak Terengganu FC, Safawi Rasid yang boleh menjaringkan gol.
Josue yang sudah dinaturalisasikan sejak 2023 pasti menjadi pilihan utama kerana pernah memikul peranan itu sebelum ini selain merupakan penjaring kedua terbanyak Liga Super musim ini.
Nepal mencipta kejutan dengan menewaskan Singapura dalam aksi persahabatan baru-baru ini. — FAS
Bagi Safawi pula, dia yang kembali ke negeri kelahirannya secara pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) juga berpotensi diletakkan Cklamovski sebagai penyerang melihat kepada 17 gol dicetak sepanjang musim.
Malah, skuad kebangsaan turut dibarisi pemain yang cemerlang di hadapan pintu gol seperti Arif Aiman Hanapi, Akhyar Rashid serta Stuart Wilkin dengan rekod masing-masing musim ini agak memberangsangkan.
Dalam pada itu, tegas Safee, Harimau Malaya tidak boleh merendahkan kualiti Nepal selepas negara itu mencipta kejutan dengan menundukkan Singapura ketika aksi persahabatan pada Jumaat lalu.
"Saya terkejut selepas menyaksikan mereka menumpaskan Singapura. Jadi, saya boleh kata ia bukan perlawanan mudah bagi kami dan mereka pasti akan memberi cabaran hebat," katanya lagi. — The Star/T AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram