
SELANGOR FC akhirnya memecahkan kebuntuan dalam siri jelajah pramusim mereka selepas dua kekalahan di Thailand apabila berjaya menewaskan Bangkok FC dengan keputusan 3-1 pada aksi ketiga pramusim.
Kemenangan berkenaan memberi sinar baru kepada pasukan kendalian Katsuhito Kinoshi selepas tewas kepada kelab liga utama Thailand, Ratchaburi (0-1) dan Chonburi dengan keputusan 1-2 sebelum ini.
Tidak dinafikan terdapat suara-suara sumbang memperlekehkan keputusan dicapai Gergasi Merah dalam aksi pramusim itu namun bekas pemain Selangor iaitu Akmal Rizal Ahmad Rakhli menyifatkan persiapan pasukan itu berjalan lancar.
BACA LAGI: Bukan saja JDT-Selangor, Sabah FC, Jang Hobin antara ‘sparring’ berkualiti kelab luar
BACA LAGI: Teruskan legasi ‘abang-abang’, skuad B-12 JDT kecewakan Selangor di final Kejohanan Belia LaLiga
Akmal Rizal yang sebelum ini pernah menyarung jersi Gergasi Merah pada musim 2006 hingga 2008 berkenaan melihat pramusim Selangor FC itu adalah untuk pihak kejurulatihan mencapai objektif mereka.
"Persiapan Selangor saya rasa akan cukup walaupun di mana mereka melakukan pramusim. Apa yang penting pihak kejurulatihan mencapai objektif yang dingini oleh mereka (barisan kejurulatihan).
"Antara objektif ialah untuk menggabungkan pemain-pemain baru dan pemain-pemain musim lepas. Meningkatkan persefahaman antara pemain dan yang paling penting memberi pemahaman taktikal kepada pasukan yang baru ini," katanya kepada Majoriti.
Menurut Akmal Rizal, keputusan menang atau kalah dalam perlawanan pramusim sebenarnya memberikan manfaat kepada barisan kejurulatihan dalam mengenal pasti kekurangan dan kekuatan pasukan untuk diperbaiki sebelum musim sebenar bermula.
Bekas pemain Selangor, Akmal Rizal Ahmad Rakhli. — Facebook/PenangFC
Dalam pada itu, bekas pengendali Penang FC berkenaan juga mengakui bahawa Johor Darul Ta'zim (JDT) masih kekal sebagai pasukan yang kuat dan lengkap, serta menjadi cabaran besar kepada Selangor dan pasukan lain.
"JDT sebuah pasukan yang cukup kuat dan lengkap. Bukan mudah untuk Selangor atau mana-mana pasukan untuk mengalahkan JDT. Tetapi jika perancangan tepat dilakukan, Selangor boleh terus bersaing untuk mendapatkan piala.
"Selangor juga perlu berhati-hati dengan pasukan-pasukan lain seperti Kuching City, Terengganu, dan Kuala Lumpur yang turut menyediakan skuad terbaik bagi menghadapi musim baru nanti," tambah Akmal Rizal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram