Rahmat besar buat Perak dan KDA, peluang terhidang luas pastikan trofi kabinet tidak berhabuk terlalu lama


  • Podium
  • Selasa, 29 Jul 2025

Perak FA dan KDA FC menyertai Liga A1 Semi Pro musim depan dengan misi tersendiri dimiliki.

SELEPAS bermusim-musim gagal meraih perhatian, saingan Liga A1 Semi Pro dijangka lebih menarik bagi kempen 2025/26 berikutan penyertaan pasukan cukup berkualiti.

Ini termasuk tiga skuad simpanan untuk kelab Liga Super, termasuk Johor Darul Ta'zim (JDT) II dan Selangor FC II yang dibarisi pemain bermutu di usia muda.

Lebih menarik lagi, kejohanan divisyen kedua itu turut disertai pasukan yang mewakili dua negeri di Utara tanah air, Perak FA dan Kedah FA yang meletakkan misi melahirkan bakat tempatan.

BACA LAGI: Lupakan kisah silam, Liga A1 jadi pentas kebangkitan Sang Kenari

BACA LAGI: Perak FA bukan sekadar buru gelaran juara A1, Khalid Jamlus tahu misi lebih besar menanti

Perak FA dan KDA FC menjadi antara 16 pasukan yang akan berentap dalam saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26.  Facebook/AFL

Tidak terhenti di situ, saingan kelolaan Liga Bola Sepak Amatur berkenaan turut menyaksikan penglibatan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang mengambil bahagian selepas gagal memperoleh lesen kebangsaan untuk ke Liga Super 2025/26.

Skuad Sang Kenari itu lebih mencuri perhatian kerana ia sudah lama bertapak di Negeri Jelapang Padi meskipun skuad Lang Merah lebih kukuh serta dibarisi pemain muda mereka.

Walaupun pada awalnya penyertaan Perak FA dan KDA FC seakan-akan menjatuhkan standard pasukan bola sepak di negeri terbabit, ramai mula menyedari rahmat di sebalik keputusan berkenaan.

Selain tidak perlu membuat pelaburan besar dari segi kos operasi, penyertaan dalam Liga A1 Semi Pro menyajikan peluang buat kedua-dua kelab tersebut untuk menamatkan penantian kejuaraan.

1. Perak FA

Landskap bola sepak di Perak kebelakangan ini amat mengecewakan kerana dua isu pengurusan disaksikan dalam lima tahun terakhir, termasuk sepanjang musim 2024/25 yang kemudian menyaksikan kelab berkenaan gagal memperoleh lesen kebangsaan.

Tetapi, tidak lama sebelum itu, skuad The Bos Gaurus (TBG) pernah menjadi antara pasukan digeruni selepas menampilkan persembahan cukup baik, termasuk dalam saingan Piala Malaysia 2018.

Di peringkat kumpulan, pasukan itu hanya menamatkan aksi di tangga kedua di belakang Terengganu, namun sudah cukup untuk membawa mereka ke pusingan kalah mati.

Arena bola sepak Perak terus merudum sejurus menjuarai Piala Malaysia 2018.

Prestasi konsisten diteruskan apabila Perak FA melangkah ke pentas akhir selepas menyingkirkan PKNS FC dan Sabah sebelum menundukkan skuad Sang Penyu di pentas akhir.

Sejak itu, skuad TBG tidak langsung berpeluang mengecapi sebarang kejayaan dengan kemaraan ke pentas akhir Piala FA 2019 merupakan peluang terbaik untuk menambah koleksi kejuaraan.

Bagaimanapun, penyertaan dalam Liga A1 Semi Pro 2025/26 memberi harapan cerah buat kelab Utara tanah air itu untuk menamatkan penantian tujuh tahun untuk menjulang trofi.

2. KDA FC

Seperti mana dibincangkan di atas, KDA FC lebih dekat di hati penyokong Hijau Kuning berbanding Kedah FA kerana kelab itu lahir daripada susur galur lebih jelas.

Meskipun tahu skuad Sang Kenari belum mencapai kestabilan pengurusan, sokongan tidak putus serta kesungguhan ditunjukkan pihak atasan diharapkan mampu membuahkan hasil.

Selain itu, harapan turut diletakkan untuk menyaksikan pasukan kendalian Azzmi Aziz itu mengungguli Liga A1 Semi Pro 2025/26 selepas kali terakhir mereka berjaya berbuat demikian adalah enam tahun lalu.

Kejayaan menjuarai Piala FA 2019 merupakan gelaran terakhir buat skuad Sang Kenari.

Ketika itu, skuad Sang Kenari berada di bawah bimbingan Aidil Sharin Sahak bertemu Perak di pentas akhir Piala FA selepas masing-masing mencatatkan keputusan memberangsangkan.

Gol tunggal Fazrul Danel dalam perlawanan akhir sudah cukup untuk memastikan kejuaraan milik kelab tersebut yang juga menjadi kejuaraan terakhir diungguli mereka.

Ini kerana sejak itu, mereka gagal melangkah ke mana-mana pentas akhir dengan status naib juara Liga Super 2022 menjadi satu-satunya peluang paling cerah buat skuad Sang Kenari menambah koleksi kejuaraan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram