
KONFLIK antara Kedah Darul Aman Football Club (KDA FC) dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berpotensi berlarutan sehingga ke mahkamah sekiranya tidak diselesaikan segera.
Demikian pandangan pemerhati bola sepak, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim yang mengulas isu perbalahan mengenai pemegang saham dan kuasa bola sepak negeri Jelapang Padi berkenaan dengan kedua-dua pihak pengurusan saling tudung jari antara satu sama lain.
Menurut beliau, isu yang berlaku itu merupakan sesuatu yang tidak sihat kerana membazirkan sumber seperti tenaga manusia dan kewangan lagi-lagi kedua-dua sedang mempersiapkan pasukan untuk saingan Liga A1 Semi Pro.
BACA LAGI: Kedah beruntung main Liga A1, masih mampu pikat bekas bek Terengganu
BACA LAGI: 'Import hanya pelengkap rasa, kudrat utama Kedah masih ubi muda'
"Perkara ini satu benda yang tak sihat kerana hanya membazir resources, membazir sumber tenaga manusia macam-macam kewangan dan sebagainya. Tetapi saya fikir benda ni boleh dielak kerana kedua-dua KFA dan KDA FC bersifat profesional.
"KDA FC masih sebahagian KFA tapi nampaknya seolah-olah apa yang berlaku KFA membiarkan Tan Sri (Dr. Mohd Daud Bakar) seorang terkontang-kanting sebagai sole provider. Sementara yang lain masih memiliki saham.
"Sepatutnya yang ada saham ni patutnya mainkan perananlah. Bukan hanya Tan Sri sahaja yang banyak mencari duit tapi mereka yang lain juga patut menyumbang di segi sumber kewangan dan sebagainya," katanya kepada Majoriti.
Zulakbal juga menzahirkan kebimbangan bahawa KFA yang sepatutnya memberi sokongan penuh kepada KDA FC, kini mewujudkan pasukan sendiri hingga menimbulkan perpecahan dalam kalangan penyokong negeri Kedah yang terbahagi antara dua pasukan.
Bagaimanapun, jika melihat sisi positif apabila kedua-dua pasukan tersebut berpotensi menjadi saingan sihat yang boleh memajukan bola sepak negeri Kedah, ibarat persaingan antara Manchester United dan Manchester City.
"KFA sememangnya kena ada tapi mereka tak patut ada pasukan sendiri sebab dah ada KDA FC sudah ada adan mereka kena bantu mengambil seluruh tenaga dan sumber untuk bantu KDA FC naik balik.
"Sekarang tiba-tiba jadi dua pasukan, jadi berbelah lagi. Separuh rakyat separuh nak pergi sana separuh nak ke sini dan sepatutnya boleh kena penyokong yang besar tapi itu terpecah dua.
"Tapi dalam kita lihat dari segi sudut positif ini pun satu petanda yang baik untuk membentuk kolam pemain. Mereka boleh menjadi saingan sihat macam Manchester United lawan Manchester City," jelasnya.
Menurut Zulakbal, adalah tidak mengejutkan jika pergaduhan antara dua entiti itu berterusan dan seterusnya salah satu pihak memilih untuk menjadikan undang-undang sebagai jalan penyelesaian.
Tetapi, sebagai pencinta bola sepak, beliau berharap kedua-dua pihak dapat menyelesaikan isu ini secara baik demi pembangunan sukan bola sepak di Kedah dan memastikan persaingan yang sihat.
"Konflik ini bukanlah sesuatu yang pelik jika tidak dikawal. Mungkin suatu hari nanti, pihak yang tidak berpuas hati akan membawa kes ini ke mahkamah, yang boleh menyebabkan proses perbicaraan berpanjangan dan menjejaskan perkembangan bola sepak negeri.
"Saya sarankan mereka fokus kepada kerja masing-masing dan buktikan siapa yang mampu memajukan bola sepak secara profesional dan berdaya saing," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram