
BINTANG muda Selangor FC, Mukhairi Ajmal, optimis dengan persiapan pasukannya menjelang aksi pembuka tirai musim 2025 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Piala Sumbangsih 2025 yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 8 Ogos ini.
Menurut pemain berusia 24 tahun itu, tempoh pramusim dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkemas aspek taktikal, memperkukuh persefahaman antara pemain serta meneliti kelemahan pasukan sebelum sepak mula musim baharu.
"Alhamdulillah, kami diberi ruang yang cukup untuk berlatih bersama dan menyesuaikan diri dalam pasukan.
BACA LAGI: [VIDEO] Tak mustahil berulang, 3 kelab 'underdog' pernah cipta kejutan di pentas awal Piala FA
"Saya rasa kami perlu bersedia sepenuhnya untuk menghadapi JDT dan harap dapat membuat persiapan terbaik menjelang perlawanan itu,” katanya.
Mukhairi berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara Selangor FC dan Provident Fiduciaries Berhad (PFB) yang berlangsung di Bin Zayed International, Tun Razak Exchange (TRX) pada Rabu.
Bintang muda Selangor FC, Mukhairi Ajmal (kiri). — Facebook/Selangorfc
Mengulas penyesuaian bersama barisan pemain import baharu, Mukhairi menyifatkan perkembangan yang ditunjukkan setakat ini amat memberangsangkan.
"Setakat ini, saya lihat pemain import memberi kerjasama yang baik. Dengan masa yang ada, saya yakin kami akan membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap,” ujarnya.
Meskipun keputusan dalam beberapa aksi pramusim kurang memberangsangkan, Mukhairi tetap positif dan menganggap ia sebagai medan penting untuk menilai kesiapsiagaan pasukan secara menyeluruh.
"Pramusim ini adalah ruang untuk mengenal pasti kelemahan kami. Dari situ kita tahu apa yang perlu diperbaiki.
"Saya percaya dengan usaha berterusan, setiap kelemahan itu akan dapat diatasi sebelum saingan liga bermula,” katanya lagi.
Dalam pada itu, mengulas mengenai peluang Selangor mencipta kejutan menentang juara bertahan Liga Super, JDT, Mukhairi berpendapat bahawa segala kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak.
"Dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Saya harap rakan sepasukan dapat memberikan saingan terbaik dan menampilkan aksi meyakinkan dalam perlawanan tersebut,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram