[VIDEO] 'Why not?', legenda Singapura harap anak ikut jejak sarung jersi JDT


  • Podium
  • Khamis, 31 Jul 2025

Baihakki masih aktif mencurahkan ilmu bola sepaknya terutama kepada anak lelakinya iaitu Mika Bazil (kiri). — Instagram/Baihakki

BARU-BARU ini skuad Asia Warriors FC yang dibarisi pemain veteran mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor pada Ahad. 

Asia Warriors mencuri tumpuan apabila membariskan bintang bola sepak Asia termasuk Keisuke Honda yang memimpin pasukan sebagai ketua dan bekas tonggak Singapura, Baihakki Khaizan di posisi pertahanan.

Baihakki antara pemain yang ditunggu menjelang perlawanan itu susulan bek tengah berkenaan pernah mewarnai Liga Malaysia (Liga M) iaitu ketika bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) bermula tahun 2014 sehingga 2015.

BACA LAGI: 'Awak bukan replika ayah', bekas bek JDT kongsi mesej beremosi saksikan anak debut kebangsaan

BACA LAGI: Kalau ada peluang, saya mahu melatih Selangor FC — Honda

Namun begitu, Baihakki yang juga merupakan bekas tonggak berpengalaman skuad kebangsaan Singapura berkenaan mengambil keputusan untuk bersara dari dunia bola sepak profesional pada 2022.

Meskipun sudah bersara, Baihakki masih aktif mencurahkan ilmu bola sepaknya terutama kepada anak lelakinya iaitu Mika Bazil yang baru-baru ini melakukan penampilan sulung bersama skuad kebangsaan Bawah 16 (B-16) tahun Singapura.

Baihakki mengakui bahawa pendekatan dalam mendidik generasi muda hari ini perlu berbeza, lebih-lebih lagi dengan cabaran dunia moden seperti media sosial dan tekanan awam.

"Saya rasa pada zaman sekarang ini, kita nak kena pilih kata-kata yang sesuai untuk anak-anak kita. Zaman sekarang, mereka (anak-anak) dibesarkan dengan cara yang berbeza. 

"Mungkin sekarang dengan adanya media sosial, adanya orang komen belakang dan ada juga komen depan-depan mereka. Macam mana keadaan mental mereka dalam saat mereka membesar nanti," katanya kepada Majoriti. 

Baihakki (kiri) ketika mewakili Asia Warriors baru-baru ini.

Menurut Baihakki, dengan pengalaman yang dimiliki sebagai bekas pemain, dia sentiasa memberi dorongan dan tunjuk ajar kepada anaknya khususnya dalam aspek teknikal seperti kedudukan di padang. 

Bagaimanapun, bekas pemain berkenaan tidak menafikan juga mengambil pendekatan sebagai seorang ayah untuk mendekat anaknya kerana hubungan yang terjalin lebih bersifat mendalam dan emosional.

"Saya selalu beri ayat-ayat perangsanglah untuk dia. Maksudnya, saya sebagai seorang bekas pemain itu, adalah sedikit-sedikit yang saya akan betulkan dia. Cara positioning dia.

"Tapi dari segi kita anak dengan bapa, saya rasa akan lebih mendalamlah. Saya rasa bangga dan harap-harap dapat sokong dan bantu dia serta naikkan dia," kongsinya. 

Sebelum ini, Mika membantu pasukan B-16 Singapura mencatat kemenangan besar menewaskan Kemboja 3-0 dalam perlawanan Lion City Cup dalam aksi yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Jumaat. 

Menerusi satu hantaran penuh bermakna di media sosial, Baihakki memuji prestasi cemerlang Mika yang beraksi selama 90 minit dan berjaya membantu pasukan mengekalkan rekod tanpa bolos dalam perlawanan antarabangsa yang berlangsung malam sebelumnya.

"Saya cakap dengan dia, ini adalah langkah pertama main bola antarabangsa. Bila main AFC nanti, awak akan jumpa pasukan besar seperti Jepun, Korea. Fizikal mereka lain. Jadi ini yang kita nak kena beri perhatian," ujarnya. 

Dalam pada itu, Baihakki turut menyuarakan pandangannya tentang kepentingan pemain muda beraksi di luar negara agar mereka lebih berdikari dan berdisiplin, sebagaimana pengalamannya selama 12 tahun bermain di luar Singapura.

Mika Bazil ketika debut bersama skuad kebangsaan B-16 tahun Singapura.

Baihakki yang kini sudah berusia 41 tahun itu menyatakan harapan agar anaknya dapat mengikuti jejak langkahnya dalam dunia bola sepak profesional, termasuk beraksi bersama pasukan gergasi Liga Malaysia, JDT.

"Saya rasa anak-anak muda lebih bagus jika bermain di luar negara. Mereka akan belajar urus diri sendiri dan lebih disiplin. Jadi saya memang secara automatik akan suruh anak saya ke sana.

"Saya akan suruh kerana saya dah berada di luar sepanjang selama 12 tahun, main di luar negara. Insya-ALLAH (bermain bersama JDT), why not," tutupnya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram