Dulu kawan kini lawan, 3 BFF akan berentap sesama sendiri musim baharu Liga M


  • Podium
  • Jumaat, 25 Jul 2025

 Persahabatan antara Hidalgo dan Lira yang terbina sepanjang musim di Kedah kekal erat hingga ke hari ini. — Facebook/KDAFC

PERSAINGAN Liga Malaysia (Liga M) musim ini dijangka lebih hangat apabila beberapa sahabat karib yang pernah beraksi bersama dalam satu pasukan bakal bertembung buat pertama kali sebagai musuh di atas padang. 

Tidak dinafikan perpindahan ke kelab baharu lumrah bola sepak namun, jika dilihat lebih mendalam perpisahan sahabat baik itu mengubah landskap hubungan mesra yang terjalin sejak sekian lama, sekaligus menambah elemen dramatik dalam pertembungan akan datang.

Menariknya, persahabatan mereka bukan sekadar hubungan di atas padang susulan mereka rata-ratanya dilihat sering berkongsi detik-detik persahabatan di luar padang termasuk di media sosial. 

BACA LAGI: [VIDEO] Tiada perancangan ambil alih Tok Gajah, Tengku Fahad fokus kejar Piala Malaysia Futsal

BACA LAGI: Lupakan kisah silam, Liga A1 jadi pentas kebangkitan Sang Kenari

Walaupun keputusan berhijrah dikatakan berlandaskan kepentingan kerjaya dan tawaran yang lebih menarik, tidak dinafikan ia turut meninggalkan kesan emosi terhadap hubungan persahabatan berkenaan. 

Walaupun mereka pernah berkongsi bilik persalinan yang sama, kini mereka perlu mengetepikan kenangan lalu demi mencapai kemenangan buat pasukan masing-masing.

Kali ini Majoriti menyenaraikan tiga kawan baik bertukar menjadi lawan pada musim 2025/2026.

1) Nik Sharif (Terengganu) vs Ifedayo (Kelantan TRW) 

Nik Sharif dan Ifedayo ketika menyarung jersi Selangor FC. 

Musim 2021 menjadi titik permulaan kepada hubungan akrab antara pemain tengah kelahiran Pahang iaitu Nik Sharif Haseefy dan penyerang berbisa dari Nigeria, Ifedayo Olusegun sama-sama menyarung jersi Selangor FC. 

Ketika itu, kedua-duanya menjadi antara watak penting dalam kempen skuad Gergasi Merah dengan mereka bersama untuk memperkukuh pasukan dari bahagian tengah hingga ke jentera serangan.

Pada kempen 2022, Nik Sharif terlebih dahulu meninggalkan Selangor untuk memburu lebih banyak minit permainan bersama Terengganu.

Sementara itu, Ifedayo pula menyertai Melaka Unoited pada kempen 2022 juga. 

Selepas lebih tiga tahun berlalu, kedua-duanya menyarung jersi berbeza. Nik Sharif tampil konsisten bersama Terengganu FC (TFC) dengan peranan di bahagian serangan sayap manakala Ifedayo pula menyarung jersi seterus Sang Penyu iaitu Kelantan The Real Warriors.

Pertemuan antara Terengganu dan Kelantan dijangka menjadi antara detik menarik untuk disaksikan, bukan sekadar pertarungan dua pasukan tetapi juga pertembungan dua sahabat lama yang pernah berkongsi satu misi dan satu padang.

2) Adam Nor Azlin (KL City) vs Sam Somerville (Selangor)

Adam dan Sam kini sama-sama menyarung jersi kelab Lembah Klang. 

Menjelang kempen Liga Malaysia 2025/2026 juga akan menyaksikan dua bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Adam Nor Azlin dan Sam Somerville menyarung jersi kelab Lembah Klang. 

Kedua-dua pemain itu pernah bergandingan dalam Harimau Selatan pada musim 2018. Meskipun Sam ketika itu beraksi bersama JDT II, lingkungan latihan dan persekitaran pasukan elit Selatan tanah air itu menjadikan mereka sebahagian daripada kumpulan rakan yang sama. 

Selepas beberapa tahun berlalu, Adam Nor Azlin baru sahaja diumumkan sebagai tunjang pertahanan baharu Kuala Lumpur (KL) City FC, manakala Sam pula kekal menjaga gawang Selangor FC sejak 2021. 

Susulan kedua-duanya jarang mendapat tempat dalam JDT, Sam terlebih dahulu berhijrah ke Penang FC pada awal kempen 2019 dan disusuli Adam yang berkelana ke negeri Pahang untuk memperkuatkan bahagian pertahanan Tok Gajah pada kempen 2024/2025. 

Pertembungan antara KL City FC dan Selangor FC pada musim ini bukan sekadar pertarungan dua pasukan ibu kota, tetapi juga mempertemukan dua sahabat lama yang pernah berkongsi permulaan cerita dalam dunia bola sepak profesional.

3) Hildago (KL City) vs Lira (Selangor) 

Hidalgo dan Lira bersahabat baik sejak menyertai Kedah pada 2023. — Facebook/KDAFC

Permulaan musim 2023 Kedah Darul Aman (KDA) FC disambut dengan meriah apabila skuad Utara tanah air berkenaan memperkenalkan beberapa pemain baharu termasuk Manuel Hidalgo dan Willian Lira untuk memperkuatkan jentera serangan. 

Kedua-duanya pemain itu diambil dengan harapan untuk membawa skuad kendalian Nafuzi Zain menjadi pencabar dalam saingan Liga M. Pada awalnya, ia jelas tampak membuahkan hasil sebelum isu kewangan merosakkan pasukan berkenaan.

Tidak ingin menyentuh mengenai isu kewangan tersebut, hubungan antara Hidalgo dan Lira bermula dengan sangat baik. Bahkan, persahabatan yang terbina sepanjang musim di Kedah kekal erat hingga ke hari ini. 

Hubungan baik yang terjalin antara mereka bukan sahaja berdasarkan keserasian di atas padang, tetapi juga menerusi keakraban di luar padang apabila kedua-duanya berkongsi rutin latihan, detik kemenangan, dan juga jatuh bangun sepanjang musim. 

Kepulangan semula Lira ke Liga Malaysia bersama Selangor FC turut menggembirakan Hidalgo. Mereka dilihat masih saling menyokong melalui media sosial, sekaligus memperlihatkan bahawa hubungan akrab mereka kekal terjalin meskipun membawa misi berbeza di padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram