Doa 3 tahun lepas termakbul, Yakubu kini milik Kedah FA


  • Podium
  • Isnin, 28 Jul 2025

Yakubu sudah terlibat dalam sesi pramusim skuad Sang Kenari menjelang musim baharu tidak lama lagi. — Facebook/Kedah FA

PERANCANGAN menarik diambil Kedah FA bagi saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26 apabila mereka menggabungkan pemain berpengalaman serta 'ubi muda' dalam pasukan.

Gandingan tersebut sesuai dengan misi ditetapkan persatuan berkenaan yang mahu mengasah bakat dari negeri tersebut yang kemudiannya akan melahirkan semula kelab selepas ia 'terkubur' baru-baru ini.

Meskipun cita-cita itu sukar dicapai, usaha dicurahkan pihak pengurusan setakat ini membuktikan kesungguhan mereka dalam mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Kedah.

BACA LAGI: Baru saja dilantik, Syamsul Saad sudah dapat 'lampu hijau' penyokong kemudi Perak FA

BACA LAGI: Pemain pilih Kedah FA berbanding KDA FC demi kestabilan, bukan tawaran tinggi

Yakubu menjadi rekrut import pertama skuad Lang Merah bagi musim depan. — Facebook/Kedah FA

Bagaimanapun, dalam memastikan skuad Lang Merah dapat memberi saingan, pasukan Utara tanah air itu turut mengambil keputusan mendapatkan khidmat pemain import.

Dalam pengumuman dibuat pada Isnin, skuad bimbingan Victor Andrag itu mengalu-alukan kehadiran pemain dari Ghana, Yakubu Abubakar yang bakal membawa kestabilan di posisi tengah pasukan.

Pemain berusia 35 tahun itu menjadi pilihan Kedah FA selepas tidak terikat dengan mana-mana pasukan sejak Julai 2024 dengan Yangon United di Myanmar merupakan kelab terakhir diwakilinya.

Namun, apa yang mungkin ramai tidak tahu ialah Yakubu tidak asing dalam arena bola sepak tempatan selepas pernah beraksi buat Sri Pahang FC kira-kira empat tahun lalu.

Seorang penyokong pernah mengharapkan kepulangan Yakubu ke dalam arena bola sepak tempatan. 

Dia yang dibawa masuk pada pertengahan musim 2021 gagal membawa sebarang impak ketara apabila hanya diturunkan lapan kali tanpa sebarang gol dan bantuan jaringan direkodkan.

Tetapi, kestabilan dibawanya buat skuad Tok Gajah masih diingati sebahagian peminat, termasuk Nor Azriel 129 di laman Instagram yang pernah meninggalkan komen 'Datanglah ke Liga Super Malaysia' pada 2022.

Ketika itu, pemain berkenaan beraksi di Bahrain buat Hidd SCC selepas meninggalkan kelab Pantai Timur berkenaan dengan harapan tersebut menceritakan kerinduan penyokong terhadapnya.

Impian untuk menyaksikan kepulangan Yakubu akhirnya terjawab apabila dia sah menjadi milik Kedah FA bagi saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26 yang juga pasti diwarnai kemeriahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram