Pernah tolak arahan MINDEF Singapura, graduan akademi Fulham kini dalam radar Selangor


  • Podium
  • Selasa, 29 Jul 2025

Ben Davis yang beraksi dalam skuad belia Fulham dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor FC dalam masa terdekat.

STRATEGI perpindahan Selangor FC musim ini cukup menarik kerana empat daripada rekrut pasukan Lembah Klang itu beraksi di Thailand dengan dua daripadanya merupakan warganegara berkenaan.

Ini jelas bercanggah dengan pendekatan sebelum ini apabila skuad Gergasi Merah lebih tertarik untuk menggunakan import dari Jordan atau mana-mana negara sekitar Timur Tengah.

Bagaimanapun, kecenderungan pasukan itu sedikit berbeza kali ini memandangkan barisan kejurulatihan mahu memastikan kesemua rekrut baharu itu mudah menyesuaikan diri.

BACA LAGI: [VIDEO] Palestin, Singapura 2 ujian terakhir Harimau Malaya sebelum jumpa Laos

BACA LAGI: 'No point' berdepan Singapura, pilihlah Jepun atau Korea Selatan nilai kebolehan HM — Kim Seng

Ben Davis yang beraksi di Thailand bersama Uthai Thani dikaitkan dengan skuad Gergasi Merah.

Malah, baru-baru ini, skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi itu sekali lagi dikaitkan dengan pemain yang berpengalaman di Liga Thai, iaitu Ben Davis.

Pemain tengah menyerang itu sememangnya diperlukan Selangor FC yang belum memiliki perancang utama selepas kehilangan Yohandry Orozco selain turut terlepas peluang mendapatkan Juanpi.

Selain itu, usia Ben Davis yang baru mencecah 24 tahun boleh menjadi pelaburan jangka masa panjang meskipun mereka perlu menebus kontrak bintang tersebut bersama kelab Thailand, Uthai Thani yang hanya akan tamat pada Jun 2027.

Kehadiran pemain berkenaan juga akan membawa nilai baharu buat skuad Gergasi Merah memandangkan dia merupakan graduan akademi pasukan terkenal di England, Fulham FC.

Meskipun tidak pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), pengalaman Ben Davis bersama kelab itu sudah cukup untuk menjadikannya aset besar buat Selangor FC.

Ben Davis bertindak menukar kewarganegaraannya selepas menolak arahan MINDEF Singapura. Facebook/FAS

Namun, di sebalik kesemua kisah positif mengenai perancang tengah itu, spekulasi besar pernah terpalit dengan pemain tersebut selepas dia menolak arahan Kementerian Pertahanan (Mindef) Singapura.

Kekalutan itu berlaku kira-kira enam tahun lalu apabila dia enggan terlibat dalam program ketenteraan di negara berkenaan atas alasan mahu menjadi pemain bola sepak profesional.

Bagaimanapun, perkara tersebut ditolak mentah-mentah oleh MINDEF Singapura kerana keputusan meneruskan karier di atas padang tidak akan mengganggu komitmennya bersama pasukan pertahanan mereka.

Meskipun sudah diberikan amaran, Ben Davis bertindak untuk terus melanggar arahan berkenaan sebelum bertindak mengubah kewarganegaraannya kepada Thailand.

Isu tersebut berlarutan sehingga ke hari ini kerana pemain terbabit akan dikenakan hukuman penjara tiga tahun sekiranya memasuki pintu sempadan Singapura.

Oleh itu, jika Selangor FC mendapatkan khidmatnya, mereka perlu bersedia dengan risiko tidak boleh menurunkannya dalam aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two jika diundi dengan mana-mana kelab Singapura. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram