'Cuti' lama musim lalu, tonggak Selangor-JDT -Terengganu kini sedia menyumbang


  • Podium
  • Jumaat, 25 Jul 2025

Dari kiri: Noor, Suhaimi dan Syahmi disisihkan daripada pasukan musim lalu akibat kecederaan serius.

KEMPEN pramusim yang sedang giat berlangsung ketika ini memberi ruang kepada barisan kejurulatihan untuk menurunkan rekrut baharu dengan harapan mereka dapat menyesuaikan diri segera.

Perlawanan persahabatan diadakan menentang pasukan pilihan masing-masing merupakan pendekatan baik kerana pengendali juga dapat mencuba taktikal baharu untuk kempen akan datang.

Tidak terhenti di situ, aksi pramusim turut memberikan peluang buat pemain yang ketinggalan hampir keseluruhan musim lalu akibat kecederaan sehingga menjejaskan kecergasan.

BACA LAGI: Lepas hilang Ivan Mamut, Exco FAM sahkan tonggak Terengganu alami ACL

BACA LAGI: Noor kongsi proses penyembuhan ACL, akui sukar berjauhan dengan keluarga

Selepas menempuhi sesi fisioterapi ditetapkan pihak perubatan, minit diraih dalam aksi persahabatan mampu membantu mereka kembali selesa selain menghilangkan rasa kekok di atas padang.

Sekiranya dapat menyesuaikan diri segera, kepulangan pemain yang cedera sebelum ini mampu membantu barisan kejurulatihan untuk memiliki pilihan skuad lebih optimum untuk menempuh musim yang pastinya mencabar.

Berdasarkan pemerhatian setakat ini, berikut merupakan tiga bintang yang terpaksa 'bercuti' pada kempen 2024/25 dan kini sudah kembali dikesan di padang latihan mahupun dalam aksi persahabatan.

1. Syahmi Safari

Meskipun kurang memberi impak sepanjang bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), Syahmi Safari kerap memberi impak terbaik sekiranya diberi peluang jika Matt Davies atau Corbin Ong tidak dapat diturunkan.

Bagaimanapun, malang melanda pemain kebangsaan tersebut musim lalu apabila dia yang dimasukkan pada minit akhir untuk aksi Liga Super menentang Penang FC mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).

Syahmi menyertai kem pramusim skuad Harimau Selatan di Sepanyol. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Insiden itu menyaksikan Syahmi terpaksa menjalani pembedahan di Sepanyol dengan segala urusan dikendalikan kelab Selatan tanah air tersebut supaya pemain berkenaan dapat kembali ke padang dengan segera.

Usaha diambil JDT jelas membuahkan hasil kerana berdasarkan kem pramusim di Eropah, pemain berusia 27 tahun itu sudah kembali bersama pasukan, namun tidak dipastikan sama ada dia turun beraksi dalam aksi persahabatan atau tidak.

Kepulangan bek sayap itu pasti membawa kelegaan buat pengendali, Xisco Munoz yang mahu meneruskan cengkaman skuad Harimau Selatan di pentas domestik selain memberi persembahan lebih baik di pentas Asia.

2. Noor al-Rawabdeh

Kecederaan ACL turut melanda bintang Selangor FC, Noor al-Rawabdeh musim lalu apabila dia terpaksa berehat untuk kira-kira enam bulan selepas kali terakhir beraksi adalah semasa berdepan PDRM FC pada 19 Oktober.

Dia yang pada awalnya menjadi komponen penting dalam skuad kendalian Nidzam Jamil gagal membantu pasukan itu kerana gandingannya di samping Yohandry Orozco dan Nooa Laine gagal disaksikan.

Noor sudah kembali ke atas padang selepas mengalami kecederaan ACL musim lalu. Facebook/Selangor FC

Meskipun skuad Gergasi Merah diperkuatkan dengan kehadiran Nikola Jambor, profil permainan yang berbeza membuatkan peminat cukup merindukan kelibat pemain kebangsaan Jordan itu.

Bagaimanapun, penyokong sudah dapat menarik nafas lega kerana pemain tengah itu sudah kembali bersama pasukan yang menjalankan sesi pramusim di Thailand bermula pertengahan Julai lalu.

Kehadirannya diharapkan mampu membawa kestabilan dalam skuad Gergasi Merah dengan gandingan tiga serangkai bersama Nooa dan rekrut baharu, Picha Autra dijangka disaksikan lebih kerap.

3. Suhaimi Hussin

Isu penjaga gol tidak pernah melanda Terengganu FC kerana mereka memiliki lambakan pilihan seperti Rahadiazli Rahalim dan Syed Nasrulhaq yang kerap digilirkan musim lalu.

Namun, sekiranya ditanya peminat, calon terbaik untuk berada di posisi itu sudah tentu Suhaimi Husin yang lebih cekap dan vokal dalam menyusun barisan pertahanan.

Dia yang lebih berusia berbanding Rahadiazli dan Syed Nasrulhaq juga sememangnya lebih berpengalaman setelah memulakan karier di negeri Pantai Timur berkenaan pada 2015.

Kepulangan Suhaimi (kiri) di padang latihan membawa keyakinan dalam kalangan peminat Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Bagaimanapun, pada penghujung Oktober lalu, Suhaimi mengalami kecederaan lutut yang memaksanya menjalani pembedahan sebelum terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi.

Kehilangannya amat dirasai kerana benteng pertahanan Terengganu FC terlalu mudah dibolosi yang kemudian menyaksikan pasukan itu gagal berada di kedudukan lebih baik.

Tetapi, dalam aksi persahabatan menentang Yala FC pada Khamis, penjaga gawang berusia 30 tahun tersebut sudah kembali yang sudah tentu membawa keyakiknan buat penyokong Sang Penyu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram