
PERANCANGAN segera perlu dilakukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan keputusan Harimau Malaya untuk menarik diri dari saingan Piala Negara-Negara CAFA.
Kejohanan yang bakal berlangsung dari 29 Ogos hingga 8 September itu sepatutnya menjadi medan terbaik buat skuad kebangsaan menilai prestasi sebenar.
Ini kerana berdasarkan undian terdahulu, pasukan kendalian Peter Cklamovski diletakkan dalam Kumpulan B yang terdiri daripada Iran, Afghanistan serta tuan rumah, Tajikistan.
BACA LAGI: Paulo Josue layak digelar legenda, tapi saya tetap pilih Fandi Ahmad — See Kim Seng
BACA LAGI: Tak perlu 100 tahun pecah rekod andai JDT catat hatrik Piala FA — Kim Seng
Skuad kebangsaan memilih untuk menarik diri daripada saingan Piala Negara-Negara CAFA. — Facebook/Malaysia NT
Namun, atas sebab tertentu, Harimau Malaya memilih untuk mengambil keputusan sedemikian yang sememangnya mencalarkan imej negara selain mengganggu perancangan pasukan.
Jadi, dengan tempoh tersebut menyaksikan pembukaan jendela FIFA, skuad kebangsaan perlu mengadakan perlawanan untuk memperoleh mata kedudukan selain menjadikan aksi itu sebagai persiapan menjelang kempen Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Laos pada Oktober.
Berdasarkan khabar angin semasa, pasukan negara mempunyai perancangan untuk berdepan Singapura, namun perkara tersebut masih belum disahkan mana-mana pihak.
Cadangan tersebut seperti diterima ramai kerana penyokong berpandangan terdapat kemungkinan besar kemenangan boleh diraih yang kemudian membantu memperbaiki kedudukan Harimau Malaya dalam ranking FIFA.
Tetapi, bagi legenda bola sepak tempatan, See Kim Seng, standard skuad kebangsaan adalah jauh lebih baik berbanding Singapura dengan aksi itu tidak akan menilai kebolehan sebenar pasukan Cklamovski.
Kim Seng (4) pernah mewakili negara beberapa kali, termasuk dalam saingan Pestabola Merdeka 1993.
"Saya melihat ini seperti 'no point', seelok-eloknya Harimau Malaya adakan perlawanan persahabatan berdepan negara lebih kuat seperti mereka yang dari Timur Tengah, Korea Selatan atau Jepun.
"Ini kerana aksi sebegitu barulah dapat menunjukkan kekuatan kita di tahap mana. Jika berdepan Korea Selatan, saya berasakan stadium akan penuh kerana sudah lama mereka tidak datang ke sini," katanya kepada Majoriti.
Kali terakhir skuad kebangsaan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Asia Timur adalah apabila mereka bertemu China pada September 2023, iaitu beberapa bulan sebelum saingan Piala Asia bermula.
Pertembungan yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 itu memberi peluang buat bekas pengendali, Kim Pan-gon untuk menilai kekuatan dan kekurangan pasukannya.
Jadi, peluang sebegitu perlu diberikan FAM kepada Cklamovski sekiranya mahu memastikan anak-anak buahnya berada dalam keadaan terbaik untuk tahun-tahun akan datang.
Harimau Malaya dikatakan bakal memilih Singapura sebagai lawan pada September nanti. — Agensi
"Kenapa kita tidak mengadakan aksi persahabatan berdepan Jepun atau Korea Selatan? Mereka sudah berada dalam standard Piala Dunia. Jika menang, ia adalah bonus buat negara.
"Tetapi jika kalah sekali pun, kita dapat melakukan pembandingan mengenai tahap kita berbanding pasukan sedemikian. Jika perlawanan diadakan, barulah kita dapat tahu," katanya lagi.
Perkongsian Kim Seng itu sememangnya relevan kerana ketika masih bergelar pemain, dia pernah berdepan Korea Selatan dalam Pestabola Merdeka 1993.
Meskipun jurang besar dari segi kualiti dapat disaksikan hari ini, Harimau Malaya perlu bersedia untuk berdepan cabaran hebat itu dan tidak lagi mengharapkan ujian mudah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram