
SELEPAS menikmati dua musim setengah yang cukup sukses bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), Jordi Amat memilih untuk mencuba suasana baharu apabila meninggalkan pasukan itu pada jendela perpindahan kali ini.
Khabar angin sebelum ini menyatakan bek tengah tersebut akan kembali ke Eropah kerana permintaan gajinya yang tinggi membuatkan pasukan sekitar Asia Tenggara sukar untuk menampungnya.
Bagaimanapun, pada awal Julai lalu, persoalan berhubung masa depannya akhirnya terjawab selepas dia menyertai kelab Liga 1 Indonesia, Persija Jakarta.
BACA LAGI: Rekrut baharu JDT sarung jersi no 5, petanda jelas pemergian Jordi Amat
Jordi Amat menyertai Persija Jakarta yang merupakan kelab Indonesia pertama dalam kariernya.
Perpindahan tersebut menyaksikan pemain berusia 33 tahun itu akan memudahkan urusannya bersama skuad Garuda kerana dia tidak perlu menempuhi perjalanan jauh untuk menyertai sesi latihan pasukan kebangsaan.
Tetapi, baru-baru ini, Jordi Amat meletakkan risiko terhadap kariernya di peringkat antarabanga selepas secara terbuka membuat kritikan terhadap mutu infrastruktur.
Luahan itu dibuat selepas aksi persahabatan melibatkan Persija Jakarta dan Arema FC di Stadium Antarabangsa Jakarta (JIS), Indonesia pada Sabtu lalu.
"JIS dan Gelora Bung Karno merupakan dua stadium yang hebat dan luar biasa, suasana di sini juga lain daripada yang lain, anda boleh berasakannya.
"Sokongan di sini juga sesuatu yang 'gila'. Cuma, saya hanya mahukan rumput yang terbaik, itu adalah perkara cukup penting untuk memberi aksi yang lebih baik," katanya.
Pandangan dikongsikan itu sememangnya pahit untuk ditelan, namun perlu diberikan kerana kualiti rumput perlu ditingkatkan dalam usaha menampilkan persembahan bermutu tinggi.
Hal tersebut berkali-kali ditekankan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Idris yang memastikan fasiliti di Stadium Sultan Ibrahim, Johor dan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (KL) berada di tahap terbaik.
Pengalaman diraih sepanjang berada di Selatan tanah air turut menyaksikan Jordi Amat menikmati tempoh terbaik dengan dia sempat mendoakan kejayaan kelab lamanya itu.
"Ia satu tempoh yang bagus berada di Malaysia bersama JDT. Saya tahu mereka akan terus memenangi trofi, itu sudah pasti. Jadi, saya ucapkan selamat berjaya kepada mereka. Saya ada ramai rakan di sana,” ujarnya.
Sepanjang beraksi buat skuad Harimau Selatan, bek kelahiran Sepanyol tersebut menjulang 10 gelaran selain membantu pasukan itu menjadi antara yang terbaik di Asia Tenggara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram