Ada momen tersendiri di Brunei, Syafiq Ahmad ikut jejak 3 striker Liga Super cuba nasib bersama DPMM


  • Podium
  • Isnin, 28 Jul 2025

Syafiq Ahmad menyertai pendatang baharu Liga Super itu meskipun dikaitkan dengan beberapa pasukan lain. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SELEPAS hampir dua bulan berteka-teki mengenai masa depannya, Syafiq Ahmad akhirnya memilih untuk ke Borneo tanah air bagi menyertai pencabar baharu Liga Super 2025/26, Brunei DPMM FC.

Pasukan yang hadir dengan status kelab jemputan itu sememangnya rancak membawa masuk pemain baharu sepanjang jendela perpindahan dalam usaha menubuhkan sebuah skuad lebih kukuh.

Selain berjaya mendapatkan khidmat Syafiq, pasukan kendalian Jamie MacAllister itu turut mendapatkan khidmat pemain berpengalaman di pentas Liga Super seperti Tommy Mawat Bada serta Fairuz Zakaria.

BACA LAGI: Persaingan sengit di Brunei, Syafiq Ahmad berdepan 'ancaman' penyerang muda Indonesia

BACA LAGI: Syafiq Ahmad sah ke Brunei, bakal jadi ‘duri dalam daging’ bekas majikan terdahulu

Syafiq Ahmad sah menjadi rekrut terbesar Brunei DPMM FC bagi Liga Super 2025/26. Facebook/DPMM FC

Namun, tumpuan utama sudah tentu diberikan kepada bintang dari Johor Darul Ta'zim (JDT) itu yang masih memiliki sentuhan berbisa meskipun kerap dilanda isu kecederaan dan kecergasan beberapa musim kebelakangan ini.

Ini bukanlah kali pertama Brunei DPMM FC membawa masuk penyerang berpengalaman dalam Liga Super ke dalam pasukan kerana pendekatan sebegitu pernah diambil sebelum ini.

Malah, berdasarkan pemerhatian, tiga daripada rekrut dalam jentera serangan pernah mencipta nama di pentas bola sepak lokal, baik ketika mereka beraksi dalam Liga Super mahupun dalam arena Liga Perdana Singapura.

1. Keita Mandjou

Penyokong Perak sudah tentu cukup sinonim dengan nama pemain kelahiran Guinea, Keita Mandjou yang menghabiskan tiga musim di Utara tanah air dengan satu Anugerah Penjaring Terbanyak Liga Super pernah menjadi miliknya.

Meskipun juga berpengalaman di Pantai Timur bersama Kelantan, nama penyerang berkenaan cukup serasi dengan skuad The Bos Gaurus kerana zaman kemuncaknya dihabiskan bersama pasukan itu.

Keita Mandjou menyertai Brunei DPMM FC selepas meninggalkan skuad TBG.

Namun, apa yang mungkin ramai tidak tahu ialah Mandjou pernah menyarung jersi Brunei DPMM FC selepas meninggalkan Perak pada 2007 dengan dia beraksi di Borneo tanah air selama semusim.

Pemain tersebut hanya beraksi buat kelab itu untuk satu musim, tetapi tidak dapat dipastikan rekod sebenarnya sepanjang bermain dalam saingan Liga Singapura.

Manjdou kemudiannya berkelana ke Amerika Syarikat dan menyertai Portland Timbers sebelum menyertai kelab India, Salgaocar dan Pune FC sebelum menamatkan karier di Kelantan pada 2013.

2. Ali Ashfaq

Peminat bola sepak lokal hari ini sudah tentu tidak begitu sinonim dengan penyerang kebangsaan Maldives, Ali Ashfaq memandangkan dia tidaklah begitu dijulang sepanjang beraksi dalam saingan Liga Super.

Tetapi, bagi peminat setia, nama pemain tersebut masih mekar dalam ingatan sehingga hari ini kerana dia pernah membuktikan keunggulan semasa bersama PDRM FC.

Dia menyertai kelab Lembah Klang itu bagi musim 2014 dan tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri apabila meledak 18 gol dalam saingan Liga Perdana yang membantu kelabnya muncul juara serta dinaikkan ke divisyen teratas.

Ali Ashfaq merupakan mesin pencetak gol buat skuad Sang Saka Biru. X/PDRM FC

Rekod itu diteruskan di pentas Liga Super apabila bintang Maldives itu menjaringkan 10 gol yang memastikan skuad Sang Saka Biru berada di posisi pertengahan sepanjang kempen.

Namun, lama sebelum membuktikan diri dalam saingan bola sepak tanah air, Ali Ashfaq terlebih dahulu menjadi nadi Brunei DPMM FC pada musim 2007/08 ketika kelab itu turut dibarisi Keita Mandjou.

Rekodnya bagaimanapun tidak dapat dipastikan kerana kekurangan statistik dan data daripada saingan Liga Perdana Singapura menyukarkan orang ramai mengetahui kejayaannya bersama pasukan terbabit.

3. Billy Mehmet

Kehadiran penyerang tinggi lampai, Billy Mehmet dalam arena bola sepak tanah air pada 2014 cukup memukau kerana penyerang itu berketinggian mencecah 1.89 meter dan berasal dari London, England.

Lebih menarik lagi, pemain tersebut rupanya pernah beraksi di pelbagai liga sekitar Eropah yang membuatkan keputusannya menyertai Kedah FA dalam Liga Perdana menimbulkan 1,001 persoalan.

Bagaimanapun, bagi peminta Hijau Kuning, ia bagaikan menjadi satu mimpi indah kerana mereka mempunyai permata bersinar dalam barisan serangan yang berjaya merekodkan 15 gol sepanjang musim.

Billy Mehmet (kiri) beraksi buat Kedah yang ketika itu berada dalam Liga Perdana.

Pada musim berikutnya, Billy berkelana ke Borneo tanah air untuk menyertai Sarawak yang beraksi dalam Liga Super dengan peluang itu diambil cukup baik apabila dia mencatatkan 10 gol dalam divisyen teratas itu.

Selepas dua tahun mewarnai arena bola sepak tempatan, dia kemudian mencuba nasib dalam Liga Perdana Singapura apabila menyertai Tampines Rovers dan Brunei DPMM FC.

Namun, dengan usianya ketika itu sudah semakin lanjut, Billy gagal memberi impak kepada DPMM FC selepas hanya sempat menjaringkan dua gol daripada lapan penampilan liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram