Dua harapan golf wanita mampu sumbang pingat di Sukan SEA — Presiden MGA


  • Podium
  • Isnin, 09 Jun 2025

Presiden Persatuan Golf Malaysia, Tan Sri Anwar Mohd Nor (dua dari kiri), meletakkan harapan tinggi kepada dua pemain golf wanita negara untuk menyerlah dalam Sukan SEA 2025.

PERSATUAN Golf Malaysia (MGA) menyandarkan harapan besar kepada dua pemain wanita negara, Mirabel Ting dan Jeneath Wong untuk menyumbang pingat dalam temasya Sukan SEA 2025 yang dijadual berlangsung pada Disember ini di Thailand.

Menurut Presiden MGA, Tan Sri Anwar Mohd Nor, Mirabel yang kini berada di kedudukan kedua dunia dalam World Amateur Golf Ranking (WAGR) dan Jeneath yang mencipta sejarah memenangi Golf Amatur Wanita Asia Pasifik 2025 dilihat sebagai calon utama skuad negara.

“Mirabel kekal sebagai sandaran utama, manakala Jeneath pula membuktikan kemampuan di pentas Asia. Kalau kedua-dua pemain ini dapat bersama, kita yakin mampu bersaing dengan Thailand,” katanya kepada media selepas Majlis Sidang Media Kejohanan Cabaran Golf TSM Ke-14 pada Isnin.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak jati Terengganu tunai janji pastikan lagu Negaraku bergema di Sepanyol

BACA LAGI: TSM Golf Challenge ke-14: 85 bakat muda rebut trofi, biasiswa RM133,000

Kejohanan Cabaran Golf TSM Ke-14 yang bakal berlangsung bermula 16 hingga 19 Jun 2025 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), terus menjadi platform utama pencarian bakat golf muda tanah air.

Disifatkan sebagai ‘blue ribbon tournament’, kejohanan itu hanya menampilkan pemain junior yang memiliki merit dan ranking tinggi dalam senarai kebangsaan.

“Ia satu-satunya kejohanan tempatan yang menawarkan biasiswa pendidikan melalui kerjasama dengan MGA,” jelas beliau.

Tambahnya, berbeza dengan edisi lalu, Sukan SEA kali ini akan menggunakan format stroke play sepenuhnya, menggantikan format campuran dengan match play yang digunakan sebelum ini.

Pemain golf remaja terbaik Malaysia, Mirabel Ting. — Instagram/mirabeltinggolf

“Ini memberi kelebihan kepada pemain tuan rumah. Tapi kita yakin dengan kemampuan Mirabel dan Jeneath untuk beri saingan,” kata Presiden MGA.

Malaysia dijangka menghantar tiga pemain wanita dengan dua skor terbaik diambil kira untuk menentukan kedudukan pasukan.

MGA turut merancang sesi latihan intensif seminggu sebelum berlepas ke Thailand dan mungkin mendapatkan bantuan jurulatih dari luar negara, termasuk Thailand untuk mempertajamkan aspek 'short game'. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram