
LEBIH 100,000 penduduk melarikan diri susulan pertempuran bersenjata paling buruk dalam sedekad antara Thailand dan Kemboja, sekali gus mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang setakat Jumaat.
Kementerian Kesihatan Thailand memaklumkan, korban melibatkan 13 orang awam dan seorang anggota tentera, manakala Kementerian Dalam Negeri mengesahkan pemindahan besar-besaran dari empat wilayah ke hampir 300 pusat perlindungan sementara.
Pertempuran tercetus pada Khamis susulan pertikaian sempadan berpanjangan yang kali ini menyaksikan penggunaan jet pejuang, kereta kebal dan artileri berat oleh kedua-dua negara.
BACA LAGI: [VIDEO] Dua maut tentera Thailand, Kemboja bertempur di sempadan
BACA LAGI: [VIDEO] Pesawat F-16 ditembak jatuh, Thailand nafi dakwaan Kemboja
Pasukan tentera Thailand melaporkan pertempuran berlaku di enam lokasi, termasuk kawasan sekitar dua kuil purba.
Tentera darat bertempur di daratan, manakala jet F-16 dikerah untuk menggempur sasaran ketenteraan di wilayah Kemboja.
Kemboja pula dilaporkan membedil roket dan meriam ke arah kawasan sempadan Thailand, dengan Bangkok menuduh Phnom Penh menyasarkan infrastruktur awam termasuk sebuah hospital dan stesen minyak.
Kedua-dua negara saling menuduh pihak lawan memulakan serangan terlebih dahulu.
The Thai military launched an attack on Cambodia first. Cambodia has the right to defend itself and its national sovereignty. Thailand has invaded Cambodia using military force. #ថៃជាអ្នកផ្តើមសង្គ្រាម#ThailandStartedTheWar#ไทยเป็นผู้เริ่มสงคราม pic.twitter.com/D9SqXYegRg
— Sila Doung (@twtSila7) July 24, 2025
Sementara itu, penduduk di bandar Samraong, Kemboja yang terletak kira-kira 20 kilometer dari sempadan, dilihat mula melarikan diri seawal pukul 6 pagi Jumaat, sebaik tembakan mula kedengaran.
“Saya tinggal sangat dekat dengan sempadan. Kami takut sebab mereka mula menembak lagi awal pagi,” kata Pro Bak, 41, yang membawa keluarganya berlindung di sebuah kuil Buddha.
Krisis itu turut mengingatkan semula ketegangan antara 2008 hingga 2011 yang meragut sekurang-kurangnya 28 nyawa dan memaksa puluhan ribu berpindah.
Isu sempadan yang diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2013 kini kembali mencetus konflik, selepas seorang tentera Kemboja maut dalam pertembungan Mei lalu.
Ketegangan diplomatik turut memuncak apabila Thailand mengusir duta Kemboja dan memanggil pulang dutanya, susulan lima anggota tenteranya cedera akibat periuk api baru-baru ini.
Kemboja membalas dengan menurunkan hubungan ke tahap paling rendah dan mengusir diplomat Thailand dari Phnom Penh.
Susulan krisis berdarah itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadual mengadakan mesyuarat tergempar pada Jumaat atas permintaan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
Amerika Syarikat dan Perancis menggesa konflik dihentikan segera, manakala Kesatuan Eropah dan China yang merupakan sekutu rapat Kemboja menyuarakan kebimbangan serius dan menyeru agar dialog damai segera dimulakan.
Terdahulu, tular satu video memaparkan sistem pelancar roket berbilang (Multiple-Launch Rocket System, MLRS) jenis RM-70 milik Tentera Diraja Kemboja melepaskan tembakan ke arah sasaran di wilayah Thailand pada awal pagi Jumaat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram