
KES kematian pelajar perempuan sebuah sekolah agama di Sabah iaitu Zara Qairina Mahathir, 13, semakin hangat diperkatakan dalam kalangan rakyat Malaysia walaupun kes itu masih disiasat pihak berkuasa.
Seperti dimaklumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Sabtu, siasatan akan dijalankan secara telus dan adil.
Menterinya, Fadhlina Sidek, juga meminta semua pihak memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu.
BACA LAGI: Kongsi kronologi kes Zara Qairana, individu rapat kes kematian pelajar di Papar harap siasatan telus
BACA LAGI: Tragedi Zara Qairina, ibu dakwa anak dibuli, KPM beri jaminan siasatan menyeluruh
Namun di sebalik siasatan yang sedang dijalankan, timbul pelbagai persoalan tentang kes itu yang dipercayai ada kaitan dengan kes buli.
Pelajar itu ditemukan meninggal dunia dipercayai selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 17 Julai lalu di Papar, Sabah.
Ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45, yang juga seorang guru, dilapor mahukan siasatan telus, adil dan saksama terhadap kes kematian anak tunggalnya itu yang didakwa menjadi mangsa buli.
Di sebalik menunggu siasatan berlangsung, ramai pihak mencadangkan keluarga Zara untuk mengambil langkah lebih tegas termasuk tindakan saman.
Langkah ini pernah dicadangkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat pada hujung tahun lalu 2024, merujuk kepada kes buli pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang berakhir dengan kematian.
"Saya merayu kepada ibu bapa yang terkesan, jangan sekadar buat laporan polis dan lakukan pendakwaan, tetapi tolong buat saman sivil ke atas institusi tersebut, kepada warden, kepada pegawai yang terbabit kerana mereka patut diheret sekali, pastikan mereka dimiskinkan.
"Supaya pada masa akan datang, mereka tidak akan pandang atas, bawah, kiri, kanan, mereka akan ambil tindakan terus.
"Selagi kita tidak memiskinkan mereka, selagi itu mereka hanya akan bersihkan tangan dan berkata, 'tak apa, seorang saja pembuli yang dipenjarakan', sedangkan yang lain masih bermaharajalela," kata Saddiq.
Dalam kes Zulfarhan, enam bekas pelajar UPNM pada awalnya dikenakan hukuman gantung kerana membunuh tanpa niat dalam kejadian pada 2017 tetapi bernasib baik apabila Mahkamah Persekutuan memerintahkan mereka dijel 18 tahun.
Dalam perkembangan terkini, polis meminta orang ramai agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian pelajar perempuan berkenaan, sementara menunggu hasil siasatan lanjut.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, PDRM Kontinjen Sabah sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu.
“PDRM Kontinjen Sabah akan menjalankan siasatan menyeluruh secara telus,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram