Putrajaya jadi saksi, PM Anwar umum Thailand, Kemboja setuju laksana gencatan senjata


  • Massa
  • Isnin, 28 Jul 2025

Thailand dan Kemboja mencapai persefahaman untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta mulai tengah malam ini.

THAILAND dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata bermula tengah malam Isnin bagi memberi laluan rundingan damai yang berlangsung di Putrajaya, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertemuan tertutup yang diadakan pada Isnin itu bertujuan meredakan ketegangan antara kedua-dua negara jiran Asean yang terlibat dalam pertikaian sempadan.

Rundingan tersebut dilihat sebagai langkah proaktif ke arah penyelesaian aman bagi mengelakkan konflik berpanjangan.

BACA LAGI: Jaja cerita sedih tutup periuk nasi, rupanya ada jurufoto jalanan berperangai tak senonoh

BACA LAGI: VAR jarak jauh: MFL wajib guna saluran komunikasi, sistem transmisi terbaik jika enggan 'memalukan' pengadil

Anwar (tengah) menyaksikan Hun Manet (kiri) bersalaman dengan Phumtham Wechayachai (kanan) selepas Mesyuarat Khas Bersama di Kompleks Seri Perdana.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Anwar selaku Pengerusi Asean dan turut dihadiri oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet serta Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai. 

Kesemua pihak komited untuk meneruskan dialog demi menjamin kestabilan dan keselamatan serantau. 

“Ini merupakan langkah pertama untuk menamatkan konflik dan mengembalikan keamanan,” kata beliau.

Persetujuan dicapai selepas rundingan tiga penjuru itu termasuk gencatan senjata segera berkuat kuasa pada tengah malam, pertemuan tidak rasmi daripada ketua ketenteraan antara kedua-dua negara pada Selasa pagi dan perjumpaan Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) pada 4 Ogos yang akan dianjurkan Kemboja.

Anwar berkata, Malaysia akan menubuhkan pasukan pemerhati untuk memantau dan memastikan penguatkuasaan perintah gencatan senjata.

Selain itu, perbincangan dengan negara anggota Asean juga sedang dalam perancangan untuk meluaskan sokongan serantau.

“Saluran komunikasi secara terus antara Perdana Menteri, Menteri Luar dan Menteri Pertahanan kedua-dua negara akan dibangunkan semula dengan segera. 

“Selain itu, Menteri Pertahanan dan Luar Negara Thailand, Malaysia dan Kemboja diarahkan untuk mewujudkan mekanisme terbaik bagi tujuan pelaksanaan serta melaporkan keadaan semasa. Ia akan bertindak sebagai batu asas dalam mengekalkan keamanan,” katanya.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan turut mengiktiraf kerjasama pemegang taruh di peringkat antarabangsa.

“Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sudah berhubung dengan pemerintah Thailand dan Kemboja untuk mencapai persefahaman bersama sementara China juga aktif dalam mengekalkan keamanan,” kata beliau lagi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram