Remote VAR: Kos efektif namun ada isu termasuk ‘delay-buffering’ — Pekan Ramli


  • Podium
  • Ahad, 27 Jul 2025

MFL bakal menubuhkan pasukan VAR jarak jauh bagi memantau setiap keputusan yang berpangkalan di Borneo. — MFL

PERANCANGAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk melaksanakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) secara jarak jauh atau 'remote VAR' disifatkan sebagai langkah bijak dan menjimatkan kos oleh pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli.

Menurutnya, pendekatan tersebut mampu mengurangkan kebergantungan kepada logistik rumit, khususnya bagi perlawanan di Borneo seperti di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah, Stadium Negeri, Kuching, Sarawak dan Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, Brunei.

“Pelaksanaan VAR jarak jauh ini adalah bijak dan kos efektif kerana ia mampu mengurangkan keperluan logistik yang tinggi,” katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Tinggalkan kelab yang sama, siapa sangka 'jodoh' kembali bertaut bersama kelab berbeza

BACA LAGI: Pemain keletihan melampau', PSM kesal jadual Piala Raja Thai terlalu padat sampai ada yang cedera

Datuk Dr Pekan Ramli.

Melalui pelaksanaan baharu itu, pasukan pengadil VAR tidak lagi perlu berada secara fizikal di lokasi perlawanan.

Sebaliknya, mereka akan mengendalikan tugasan dari pusat kawalan data di Kuala Lumpur, manakala hanya pengadil di padang akan berada di stadium.

Bagaimanapun, Pekan mengakui terdapat kebimbangan tersendiri terutama bagi perlawanan yang melibatkan lokasi di Borneo.

"Cuma ada sedikit kerisauan untuk Liga Super kita kerana jarak antara konti VAR kita di Kuala Lumpur umpamanya mungkin agak jauh lebih seribu kilometer dan merentas lautan jika perlawanan itu di Kota Kinabalu, Kuching atau Bandar Seri Begawan.

"Kerisauan utama kita adalah soal 'transmisi' yang mungkin boleh sedikit 'delay', 'buffering' atau mungkin kurang jelas.

"Namun segalanya bergantung kepada kecanggihan sistem dan kekuatan 'network' yang digunakan oleh MFL nanti," katanya.

Menurutnya lagi, sekiranya isu tersebut berlaku, ia boleh memberi kesan buruk terhadap mutu pengadilan kerana kelemahan sistem akan menjejaskan keputusan dibuat di atas padang.

Pelaksanaan VAR secara jarak jauh itu dijangka menjadi satu anjakan baharu dalam meningkatkan tahap profesionalisme pengadilan dan kecekapan pengurusan perlawanan dalam Liga Malaysia. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram