[VIDEO] Anak anggota RELA rayu orang ramai kongsi rakaman 'dashcam' lepas ibu maut berlanggar lori pasir


  • Tular
  • Isnin, 28 Jul 2025

Norizan Mohd Nor yang merupakan anggota RELA meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

SEBUAH kemalangan maut disaksikan di Jawi, Seberang Perai, Pulau Pinang melibatkan seorang penunggang motosikal wanita yang maut selepas dilanggar lori pasir pada Isnin.

Dalam kejadian tersebut, mangsa, Norizan Mohd Nor yang merupakan anggota RELA meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Insiden berkenaan turut menerima perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Bakap, Abidin Ismail yang bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat mengenainya.

BACA LAGI: Putrajaya jadi saksi, PM Anwar umum Thailand, Kemboja setuju laksana gencatan senjata

BACA LAGI: Di sebalik cerita sedih PBT kacau periuk nasi, rupanya ada jurufoto jalanan berperangai tak senonoh

"Saya dimaklumkan berlaku kemalangan di persimpangan Jawi melibatkan lori tanah dan motosikal. Saya bergegas ke tempat kejadian dan melihat seorang penunggang motosikal meninggal di tempat kejadian.

"Saya mohon kepada pemandu kenderaan kecil, berhati-hati ketika memandu kerana banyak kenderaan berat berada di atas jalan raya. Kepada pemandu kenderaan berat, memandulah secara berhemah agar pemanduan anda tidak membahayakan kenderaan lain," tulisnya.

Dalam hantaran berbeza, Abidin menyatakan jenazah sudah dibawa ke Hospital Sungai Bakap untuk proses bedah siasat dan dikebumikan selepas waktu Asar.

"Dimaklumkan jenazah dibedah siasat pada pukul 2 petang dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Lama Sungai Bakap selepas solat Asar. Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga Almarhumah atas kehilangan ini," katanya.

Berdasarkan beberapa video tular di media sosial, kelihatan motosikal milik mangsa terbaring di tengah- tengah persimpangan empat lampu isyarat dan lori tanah yang terlibat dalam kemalangan itu juga ada di lokasi.

Namun, maklumat lanjut berhubung insiden masih belum diperoleh kerana tiada sebarang rakaman kamera papan pemuka (dashcam) dikongsikan setakat ini.

Dalam perkembangan sama, anak kepada Allahyarhamah, dikenali sebagai Haziq Nizam merayu kepada orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka berkaitan kemalangan tersebut agar dapat dikongsikan kepadanya.

“Assalamualaikum, saya sebagai anak memohon agar semua mendoakan Al-fatihah untuk arwah ibu saya, Norizan Moh Nor.

"Bagi sesiapa yang mempunyai rakaman dashcam sebagai bukti, sila hubungi saya melalui mesej peribadi. Saya sangat menghargai kerjasama semua,” katanya di Facebook. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram