Bijaknya KDN lantik Elavarasan, individu tepat ketuai revolusi Sang Kijang Emas


  • Podium
  • Rabu, 21 Mei 2025

E. Elavarasan dianggap watak paling sesuai ketuai revolusi KDN.

REVOLUSI bola sepak Kelantan dilihat berada dalam landasan yang baik selepas Kelantan Darul Naim FC (KDN) dilaporkan sudah berjaya menyelesaikan hutang tunggakan gaji dengan para pemain.

Dengan musim baharu akan bermula tidak lama lagi, Sang Kijang Emas sedang aktif melakukan persiapan dengan jurulatih baharu turut dibawa masuk.

Satu nama yang sering disebut adalah bekas pembantu Kim Pan-gon di skuad kebangsaan iaitu E. Elavarasan.

BACA LAGI: Ada pengalaman bersama HM serta berdarah lokal, legenda Terengganu-pembantu KPG mungkin kemudi KDN

BACA LAGI: Bukan setakat lantik jurulatih baharu, Akmal Rizal nasihat KDN peka isu kewangan

Elavarasan dijangka mempunyai bajet terhad kendalikan KDN.

Pengendali berpengalaman itu mungkin sering menjadi kritikan penyokong ketika berada di skuad kebangsaan, namun di gelanggang Liga Super, Elavarasan sememangnya berpengalaman.

Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley, profil Elavarasan dilihat sesuai untuk mengendalikan pasukan yang sedang menjalani proses pembinaan semula seperti KDN.

Menganggap tindakan mendapatkan Elavarasan satu perkara bijak dilakukan ole kelab, pengalaman luasnya dalam bola sepak tempatan diperlukan bagi memastikan pembinaan semula KDN dalam keadaan baik dan stabil.

"Berdasarkan pengamatan peribadi dan visi KDN sendiri ingin dibentuk semula, rasanya sangat sesuai. Pengalaman Elavarasan bukannya sedikit apatah lagi dia pernah kerjasama dengan Kim Pan-gon dan Pau Marti dalam skuad kebangsaan," kata Afiq kepada Majoriti.

Walaupun sedang menjalani proses pembinaan semula, KDN bagaimana pun tidak mempunyai bajet yang besar untuk mendapatkan pemain handalan.

Oleh itu, Elavarasan perlu bijak dalam membina skuadnya supaya tetap kompetitif namun tidak menelan belanja besar.

"Elavarasan perlu mengeluarkan potensi terbaik pemain-pemain tempatan, terutamanya dalam kalangan bakat muda dan jika diberi pilihan untuk membawa masuk pemain import, sebaiknya biarlah dalam jumlah kecil dalam satu, dua orang yang berkualiti tinggi dan bukannya sebagai beban.

"Saya jangakakan KDN akan mendapatkan pemain dariapda kelab yang sudah gulung tikar. Dengan ketiadaan Piala MFL, pemain-pemain muda yang tercicir juga boleh menjadi sasaran mereka.

"Saya jangka 70 peratus pemain muda dan selebihnya adalah import serta senior. Pemain senior tetap diperlukan untuk memimpin pemain-pemain muda di atas padang," komen Afiq. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram