
KEM Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dijangka menerima khabar gembira apabila bekas pembantu jurulatih Harimau Malaya, E. Elavarasan dikhabarkan berkemungkinan besar mengemudi pasukan Pantai Timur itu musim depan.
Dengan pengalaman luas dalam bola sepak tempatan dan antarabangsa, Elavarasan dilihat sebagai calon ideal untuk membimbing pasukan negeri Cik Siti Wan Kembang, yang kini dalam usaha membina semula kekuatan selepas melalui musim yang mencabar.
Pemilihan ketua jurulatih untuk KDN FC bukan sahaja penting dari aspek prestasi di atas padang, malah turut memainkan peranan besar dalam membentuk keyakinan penyokong serta hala tuju jangka panjang kelab.
BACA LAGI: Ada pengalaman bersama HM serta berdarah lokal, legenda Terengganu-pembantu KPG mungkin kemudi KDN
BACA LAGI: Senarai belum muktamad, 3 bintang JDT termasuk Hong Wan mungkin antara digugurkan Cklamovski
Dengan tekanan untuk bangkit semula, pelantikan jurulatih berpengalaman seperti Elavarasan mampu menjadi titik tolak kepada perubahan positif dalam pasukan.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang dijangka boleh mengikut jejak langkah Elavarasan dan membantu mengembalikan semangat serta daya saing KDN FC dalam saingan Liga Malaysia musim depan.
1. Wan Zack Haikal Wan Noor
Tonggak Perak FC, Wan Zack Haikal Wan Noor memiliki pengalaman luas di posisi tengah yang amat penting untuk pasukan yang sedang berusaha membangunkan semula prestasi dan mencari kestabilan permainan.
Pengalamannya berpotensi memberi impak positif kepada Kelantan Darul Naim, terutamanya dalam mengawal permainan, membaca situasi dan membantu rakan sepasukan membuat keputusan yang lebih baik di atas padang.
Kelantan yang sedang berusaha untuk kembali ke prestasi terbaik selepas beberapa musim kurang memberangsangkan, memerlukan pemain berpengalaman yang dapat menambah kualiti pasukan.
Pemain tengah berpengalamna, Wan Zack dilihat sesuai mengembangkan kariernya bersama pasukan Pantai Timur itu. — Facebook/Perakfc
Selain keupayaan sebagai pemain tengah, Wan Zack juga memiliki kebolehan menyerang, menyumbang gol serta membantu mencipta peluang serangan.
Tambahan pula, dengan penarikan diri Perak FC dari Liga Malaysia musim depan, ini memberi peluang kepada Wan Zack untuk memilih kelab baharu jika dia masih ingin beraksi dalam liga domestik.
2. Azwan Aripin
Sebagai anak jati Kelantan, Azwan Aripin pastinya mempunyai keinginan untuk beraksi di hadapan penyokongnya sendiri. Kepulangannya ke Kelantan bukan sahaja akan menggembirakan peminat tempatan, tetapi juga meningkatkan semangat kebanggaan dan sokongan terhadap pasukan.
Pemain yang berkelulusan 1.71 meter itu mempunyai pengalaman beraksi untuk Kelantan FC, menjadikannya aset penting untuk pasukan.
Kepulangannya akan memberikan kestabilan di bahagian pertahanan Kelantan Darul Naim FC, yang musim lalu dibolosi sebanyak 82 gol dan menghuni tangga tercorot Liga M.
Azwan Aripin (kanan) dijangka kembali menabur bakti bersama negeri kelahirannya. — Facebook/Sripahangfc
Kelantan, yang sedang berusaha membina semula kekuatan pasukan, memerlukan seorang pemain seperti Azwan untuk memberi panduan dan pemahaman mengenai cara bertahan yang lebih sistematik dan berkesan.
Kepulangan Azwan tidak hanya memberi impak dari segi permainan, tetapi juga dalam pembangunan mental pemain muda, kerana Kelantan Darul Naim FC dikenali sebagai kelab yang mempercayai potensi pemain muda.
Dengan Sri Pahang yang tidak beraksi musim depan, ini menjadi pilihan terbaik buat Azwan sekiranya dia masih mahu mengembangkan kariernya.
3. Felipe Hereda
Bekas import Kelantan FC, Felipe Hereda antara nama yang sering disebut-sebut oleh penyokong untuk kembali menyarung jersi pasukan Pantai Timur itu.
Pemain kelahiran Brazil itu dilihat sebagai pilihan yang sesuai untuk kembali ke Kelantan memandangkan dia sudah serasi dengan pasukan dan memahami budaya serta corak permainan kelab.
Dengan pengalaman dan kematangan yang dimilikinya sebagai pemain import, Hereda mampu memberi kestabilan di posisi pertahanan atau tengah, dua posisi penting yang memerlukan pemain berdisiplin dan berpengalaman.
Kepulangan pemain import kelahiran Brazil, Felipe Hereda ke Kelantan mendapat restu dan sokongan penuh daripada penyokong tanah air. — Instagram/felipehereda-5
Hereda juga mempunyai hubungan baik dengan penyokong dan kepulangannya dijangka dapat membangkitkan semangat pasukan serta meningkatkan moral di dalam dan luar padang.
Kehadirannya boleh menjadi aset jangka panjang dalam usaha Kelantan membina semula pasukan yang lebih kompetitif.
Melihat kepada laman Transfermarkt, Hereda kini berstatus ejen bebas, menjadikan peluang untuk membawa dia kembali ke Kota Bharu lebih terbuka dan realistik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram