[VIDEO] Dua musim bermakna bersama Sabah FC, Telmo Castanheira akhirnya tinggalkan The Rhinos


  • Podium
  • Selasa, 20 Mei 2025

Telmo Castanheira (kiri) menjadi tonggak import terbaru mengucapkan selamat tinggal kepada Sabah FC. — Instagram/telmocastanheira

KEM Sabah FC menerima khabar kurang menggembirakan apabila pemain import kesayangan The Rhinos, Telmo Castanheira mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan.

Pemain tengah berusia 33 tahun itu menjadi tonggak import terbaru yang meninggalkan Sabah FC dengan pengumuman dibuat sendiri melalui kenyataan di akaun Instagram miliknya.

Castanheira mengakui bahawa bukan sesuatu yang mudah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Sang Badak, namun keputusan itu terpaksa dibuat selepas dua musim penuh kenangan bersama pasukan.

BACA LAGI: Ada pengalaman bersama HM serta berdarah lokal, legenda Terengganu-pembantu KPG mungkin kemudi KDN

BACA LAGI: Saham Dion Cools mencanak, disebut-sebut dalam radar kelab gergasi Jepun

 

 

"Terima kasih Sabah FC. Ia merupakan dua musim yang panjang dalam budaya yang baharu, di benua yang berbeza namun satu pengalaman yang luar biasa.

"Terima kasih kepada semua yang saya temui sepanjang tempoh ini, yang telah membuatkan saya berasa seakan berada di rumah sendiri.

"Terima kasih kepada para penyokong atas segala kasih sayang dan sokongan serta untuk malam-malam yang tidak akan saya lupakan di Stadium Likas.

"Sabah FC akan sentiasa berada di hati saya. Terima kasih. Selamanya sang Badak," tulisnya.

Selepas menyertai Sabah pada 8 Januari 2023, Castanheira mencatat 56 penampilan bersama pasukan, menjaringkan enam gol dan merekodkan 11 bantuan gol.

Pada musim 2024/25, import kelahiran Portugal itu memainkan peranan penting dalam membantu Sabah menamatkan saingan di tangga ketiga liga, sekali gus melayakkan pasukan ke saingan Piala Shopee musim hadapan.

Castanheira kini mengikut jejak rakan sepasukan, Saddil Ramdani dan Park Tae-su, yang turut mengucapkan selamat tinggal kepada Sabah FC selepas berakhirnya kempen musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram