[VIDEO] Insiden kontroversi libat Intan Serah akan disiasat — FAM


  • Podium
  • Khamis, 24 Jul 2025

Tangkap layar Intan Serah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengadil termasuk menunjukkan isyarat kurang sopan.

NAMA penyerang bola sepak wanita negara, Intan Serah Anisah Zulgafli menjadi bualan penyokong selepas dikesan bertelagah dan menunjukkan isyarat kurang sopan ke arah pengadil iaitu Nurul Ain Izzaty Zainal.

Keadaan mula panas membabitkan kedua-dua pasukan apabila perlawanan memasuki minit ke-94, Intan Serah atau mesra dengan panggilan Intan Serah itu yang masuk sebagai pemain gantian dijatuhkan pemain Selangor di luar kotak penalti.

Meskipun begitu, pengadil berkenaan memilih meniup wisel bagi menandakan tamatnya perlawanan antara Merah Kuning dan MBSJ.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Local pride!', aksi bengkeng Intan Serah hiasi kemenangan skuad wanita negara

BACA LAGI: Mulakan karier seawal usia 7 tahun, bintang Selangor ikut jejak Intan Serah ke New York

Kekecohan bermula apabila Intan Serah dilihat tidak berpuas hati dengan kekasaran yang dilakukan oleh pemain Selangor, sebelum terlibat dalam pertelingkahan mulut dengan beberapa pemain pasukan lawan.

Situasi menjadi semakin tegang, memaksa beberapa rakan sepasukannya termasuk kapten MBSJ, Steffi Sarge Kaur campur tangan bagi menenangkan keadaan.

Selepas menilai situasi di tengah padang, Nurul Ain mengambil keputusan melayangkan kad merah kepada Intan atas tindakannya yang dianggap tidak terkawal.

Keputusan berkenaan nyata tidak disenangi oleh pemain berusia 26 tahun itu, yang kemudiannya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengadil termasuk menunjukkan isyarat kurang sopan.

Mengulas kejadian melibatkan pemain kebangsaan itu, Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Suraya Yaacob tampil memberikan respons dengan menegaskan bahawa tindakan lanjut akan diambil mengikut saluran yang betul setelah siasatan dalaman selesai dijalankan.

“Saya baru saja tengok video itu, nanti saya akan tukarkan dan hantar kepada jawatankuasa. Tapi setakat ini tidak ada apa-apa lagi. Ini dah kali kedua Intan buat sedikit masalah (mengkritik bekas jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon secara terbuka menerusi platform X.

“Ya memang ada banyak isu, tapi kita tak nampak apa-apa yang lain. Kita hanya lihat insiden ini sebagai satu kejadian individu,” katanya kepada Majoriti.

Pada Januari 2024,  kenyataan Intan Serah menerusi ciapan di platform X mengundang kemarahan penyokong bola sepak apabila dilihat tidak berpuas hati dengan percaturan Pan Gon ketika aksi terakhir Piala Asia 2023 berdepan Korea Selatan.

Menerusi ciapan yang sudahpun dipadam, Intan Serah menciap 'another stupid sub from KPG (Kim Pan-gon) masukkanlah Pawi (Safawi Rasid)' selepas Pan Gon memasukkan Romel Morales.

Dalam pada itu, Suraya turut menasihati semua pemain agar kekal profesional dan menjaga adab ketika beraksi di atas padang.

“Saya nak nasihatkan semua pemain supaya berada dalam keadaan tertib semasa bermain. Kita main secara profesional, dan ini adalah liga yang mencerminkan pemain secara keseluruhan, bukan secara individu,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa Intan Serah merupakan ‘anak emas’ dalam skuad kebangsaan wanita dan seolah-olah dilindungi daripada tindakan disiplin, Suraya menolak tanggapan itu.

“Saya tak pasti kalau ada yang melindungi. Tetapi apa yang pasti, semua pemain akan diberi layanan dan ajaran yang sama tanpa mengira status atau kedudukan mereka dalam pasukan,” tegasnya.

Untuk info, Intan Serah bukan satu-satunya pemain MBSJ yang dilayangkan kad merah. Siti Asnidah Zamri turut dibuang padang pada minit ke-87 selepas mengutip kad kuning kedua.

Perlawanan itu menyaksikan Selangor meraih kemenangan 2-1 ke atas MBSJ dengan menyaksikan Nur Mecca Rania Mohd Hazri muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan Merah Kuning. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram