
KENYATAAN rasmi yang dikeluarkan Penang FC mengejutkan ramai penyokong bola sepak tanah air apabila kelab itu mengumumkan melepaskan seramai 22 pemain.
Pengumuman tersebut dimuat naik menerusi laman rasmi Facebook, Penang FC pada Selasa.
Apa yang lebih mengejutkan, skuad Harimau Kumbang turut melepaskan dua pemain pinjaman dari Selangor FC iaitu penjaga gol Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan pertahanan, Richmond Ankrah.
BACA LAGI: [VIDEO] Dua musim bermakna bersama Sabah FC, Telmo Castanheira akhirnya tinggalkan The Rhinos
BACA LAGI: Ada pengalaman bersama HM serta berdarah lokal, legenda Terengganu-pembantu KPG mungkin kemudi KDN
Seramai 22 pemain dilepaskan oleh Penang FC. — Facebook/Penangfc
Turut dilepaskan ialah pemain pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT), Syameer Kutty Abba.
"Penang FC ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada 22 pemain yang telah menamatkan komitmen bersama kelab bagi musim 2024-2025.
"Sepanjang musim ini, semua pemain terbabit telah menunjukkan semangat kesukanan, profesionalisme dan dedikasi yang tinggi dalam mewakili Penang FC di pelbagai kejohanan dan peringkat saingan.
"Sumbangan mereka sama ada di atas padang mahupun di luar padang telah menjadi sebahagian penting daripada perjalanan dan pembangunan pasukan sepanjang musim 2024/2025," katanya.
Tambah kenyataan tersebut, pihak kelab turut menghargai segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh para pemain Harimau Kumbang sepanjang bersama Penang FC.
"Kelab amat menghargai segala jasa, pengorbanan dan usaha yang telah dicurahkan oleh semua pemain ini. Kami percaya bahawa setiap individu telah memberikan yang terbaik demi warna dan lencana pasukan, dan segala sumbangan tersebut tidak akan dilupakan oleh seluruh keluarga besar Penang FC.
"Kami mendoakan kejayaan yang berterusan buat semua bekas pemain dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini, sama ada di pentas bola sepak profesional mahupun dalam kehidupan peribadi.
"Sekali lagi, terima kasih atas segala jasa dan kenangan yang telah ditinggalkan bersama Penang FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram