[VIDEO] 'Mereka juga anak saya', guru melecur 80 peratus akhirnya maut lepas selamatkan 20 pelajar dalam nahas jet di Bangladesh


  • Benua
  • Rabu, 23 Jul 2025

Pesawat ketenteraan itu terhempas akibat masalah teknikal dengan juruterbang turut terkorban. — Agensi

SEORANG guru wanita menunjukkan keberanian luar biasa apabila mengorbankan nyawanya demi menyelamatkan para pelajar ketika sebuah jet pejuang milik Tentera Udara Bangladesh terhempas ke dalam kawasan sekolah dan menyebabkan kebakaran besar pada Isnin.

Maherin Chowdhury, 46, yang juga merupakan guru Bahasa Inggeris dilaporkan berulang kali masuk semula ke dalam kelas yang sedang terbakar untuk menyelamatkan pelajar-pelajarnya walaupun pakaiannya sendiri sudah dijilat api.

Perkara itu dimaklumkan oleh adiknya, Munaf Mojib Chowdhury dalam satu panggilan telefon kepada media tempatan.

BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan tersadung objek, rupanya wartawan terpijak mayat ketika buat liputan kehilangan wanita

BACA LAGI: [VIDEO] Ditegur jarang masuk kelas, guru mengamuk tumbuk cermin dalam kelas

Maherin akhirnya meninggal dunia pada hari sama akibat melecur hampir keseluruhan badannya. Beliau meninggalkan seorang suami dan dua anak lelaki remaja.

“Apabila suaminya menelefon dan merayu agar dia menyelamatkan diri demi anak-anak, dia menjawab, mereka juga anak-anak saya. Mereka sedang terbakar. Bagaimana saya boleh tinggalkan mereka?’” kata adiknya lagi.

Sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh dalam tragedi itu, kebanyakannya merupakan pelajar.

Tentera memaklumkan bahawa jet pejuang F-7 BGI itu mengalami masalah teknikal semasa dalam misi latihan rutin selepas berlepas dari pangkalan udara berhampiran. Juruterbang turut terkorban dalam nahas tersebut.

“Saya tak pasti berapa ramai yang dia selamatkan, tapi mungkin sekurang-kurangnya 20 orang. Dia tarik mereka keluar dengan tangan sendiri,” ujar Munaf lagi, yang mengetahui kisah keberanian kakaknya ketika bertemu pelajar-pelajar yang diselamatkan Maherin di hospital.

Ketua guru bahagian rendah sekolah berkenaan, Khadija Akter turut mengesahkan tindakan Maherin yang berlari ke arah api untuk membantu orang lain ketika semua yang lain bertempiaran menyelamatkan diri.

Maherin telah dikebumikan pada Selasa di daerah kelahirannya, Nilphamari, di utara Bangladesh. — The Star/RUMA PAUL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram