[VIDEO] Bintang JDT antara yang buat 'U-turn' tak lama lepas diumum berhijrah


  • Podium
  • Khamis, 24 Jul 2025

Bekas pemain kebangsaan, Fazly Mazlan (kiri) kembali menyertai Selangor FC untuk musim 2025/26. — Instagram/fazlymazlan22

 

 

LIGA Malaysia bakal membuka tirai tidak lama lagi dengan hampir semua kelab kini giat membuat persiapan rapi bagi menghadapi saingan musim baharu dan merebut kedudukan lebih baik dalam carta liga.

Tumpuan turut terarah kepada beberapa kelab Liga Super seperti Penang FC, Kuching City FC dan Kuala Lumpur City FC yang agresif dalam membawa masuk pemain-pemain tempatan berprofil tinggi bagi memperkuatkan cabaran mereka musim ini.

Sementara itu, dua pasukan teratas musim lalu, juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan naib juara Selangor FC, sudah pun memulakan langkah lebih awal dengan memperkenalkan wajah-wajah baharu dalam skuad masing-masing.

BACA LAGI: Ngah Wanja mampu cipta nama sebaris 3 awang hitam digeruni di bumi Borneo

BACA LAGI: Dion Cools tak panik, terima keputusan FAM tarik diri Piala CAFA

JDT khususnya mengejutkan peminat apabila mengumumkan kehadiran beberapa pemain warisan seperti Hector Hevel, Jon Irazabal dan Joao Figueiredo, sekali gus menunjukkan kesungguhan mereka mempertahankan gelaran.

Namun, di sebalik tumpuan kepada pemain baharu, beberapa kelab Liga Malaysia turut menarik perhatian apabila pemain yang sebelum ini mengumumkan hasrat untuk meninggalkan pasukan, membuat pusingan ‘U’ dan kekal bersama kelab asal.

Susulan itu, Majoriti menyenaraikan tiga kelab yang pernah merekrut semula pemain yang sudah ‘angkat kaki’ namun kembali menyarung jersi lama tidak lama selepas mengucapkan selamat tinggal.

1. Fazly Mazlan

Bekas pemain kebangsaan, Fazly Mazlan sah kembali menyertai Selangor FC bagi menghadapi saingan Liga Super musim 2025/26.

Pemain pertahanan berusia 31 tahun itu sebelum ini tidak disambung kontrak oleh pasukan Merah Kuning, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai destinasi baharunya.

Antara yang dikaitkan dengannya adalah pendatang baharu Liga Super, Imigresen FC, namun perpindahan tersebut tidak menjadi kenyataan.

 

 

 

 

Kini, Fazly kembali memperkuatkan benteng Selangor di bawah bimbingan pengendali dari Jepun, Katsuhito Kinoshi sekali gus menambah pengalaman dan kepimpinan dalam skuad yang bakal menghadapi musim mencabar.

Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dijangka bersaing sengit dengan Zikri Khalili dan Mohammad Abualnadi untuk merebut tempat di posisi bek kiri dalam kesebelasan utama Selangor.

2. Fernando Forestieri

Nama penyerang sayap, Fernando Forestieri pernah mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan apabila JDT membuat kejutan membawa semula pemain itu selepas beliau mengucapkan selamat tinggal pada awal Januari 2024.

Ketika itu, pemain kelahiran Argentina itu disahkan tidak lagi berada dalam perancangan Harimau Selatan selepas dua musim cemerlang yang menyaksikannya membantu JDT meraih kejuaraan double quadruple pada 2022 dan 2023.

Keputusan mengejut itu sukar diterima ramai penyokong yang sudah menjadikan Forestieri antara watak kesayangan di Iskandar Puteri.

Jodoh Forestieri (kiri) dan JDT berakhir juga pada pertengahan musim 2024/25. — Instagram/fernandoforestieri

Namun, seakan mendengar rintihan penyokong, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil membuat pusingan U dengan membawa semula mesin gol berusia 35 tahun itu untuk memperkuatkan pasukan bagi musim 2024/25.

Forestieri terus mempamerkan aksi konsisten bersama JDT dan kekal sebagai antara pemain import terbaik yang pernah beraksi di Liga Malaysia, bukan sahaja kerana ketajamannya di atas padang, tetapi juga sikap profesional yang ditunjukkannya di luar padang.

Namun, jodoh Forestieri dan JDT akhirnya berakhir juga pada pertengahan musim 2024/25 selepas kontraknya ditamatkan akibat isu kecederaan berulang yang kemudian menyaksikannya berkelana ke Cyprus untuk menyertai AEL Limassol.

3. Muslim Ahmad

Sri Pahang FC pernah mencetuskan kejutan apabila kembali menyenaraikan bekas pemain pertahanan kebangsaan, Muslim Ahmad bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2022.

Ketika itu, Muslim yang juga bekas kapten Tok Gajah diumumkan antara 14 pemain yang tidak disambung kontrak selepas tamat musim 2021.

Namun, keputusan kelab berubah apabila pemain berpengalaman itu menandatangani kontrak baharu, sekali gus kekal menyarung jersi Sri Pahang untuk musim keenam.

Muslim kini berstatus sebagai ejen bebas. — Facebook/MFL

Pemain berusia 36 tahun itu menjadi antara tonggak penting dalam barisan pertahanan pasukan dan memainkan peranan besar dalam kestabilan benteng Tok Gajah sejak menyertai kelab itu secara tetap.

Bagaimanapun, selepas hampir tujuh tahun setia bersama Sri Pahang, jodoh Muslim akhirnya terlerai pada musim 2023, dengan pasukan berpangkalan di Pantai Timur itu turut sah tidak lagi beraksi dalam saingan Liga M bagi musim 2025/2026.

Menurut laman Transfermarkt, beliau kini berstatus ejen bebas dan masih belum mengikat sebarang kontrak baharu menjelang musim 2025/2026. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram