
BEKAS pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Murilo Henrique sah kembali menyertai kelab lamanya di Finland, SJK Seinajoki selepas kontrak bersama juara bertahan Liga Super itu tidak disambung bagi musim depan.
Pemain berusia 30 tahun itu sebelum ini diumumkan sebagai salah seorang daripada 11 pemain yang dilepaskan oleh JDT menjelang musim 2025/2026.
Perpindahan Murilo ke kelab baharu ketika itu menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong, memandangkan kemampuannya beraksi di posisi pertahanan kiri mahupun sebagai pemain sayap menjadikannya antara pemain serba boleh yang cukup bernilai.
BACA LAGI: Ngah Wanja mampu cipta nama sebaris 3 awang hitam digeruni di bumi Borneo
BACA LAGI: Isu komunikasi tak halang Dion Cools sesuaikan diri di Jepun
Murilo (kanan) sah menandatangani kontrak bersama SJK Seinajoki pada 5 Julai 2025. — Instagram/murilohenrique22
Menurut laman Transfermarkt, Murilo sah menandatangani kontrak bersama SJK Seinajoki pada 5 Julai 2025, menandakan kepulangan semula ke kelab yang pernah diwakilinya dari 2020 hingga 2023.
Lebih menarik, SJK juga merupakan bekas kelab pemain tengah Selangor FC, Nooa Laine yang meninggalkan kelab Finland itu pada tahun lalu untuk mencuba nasib dalam saingan Liga Malaysia bersama Gergasi Merah.
Nooa memulakan karier profesionalnya bersama JJK Jyvaskyla pada 2018 sebelum berhijrah ke HJK Helsinki dan menyertai pasukan simpanan mereka, Klubi 04 dengan mencatatkan 26 penampilan dan lima gol sepanjang dua musim.
Beliau kemudian menyertai SJK dari 2021 hingga 2023 dan merekodkan 64 penampilan serta menjaringkan empat gol sepanjang tempoh tiga musim.
Sementara itu, Murilo yang menyertai JDT pada awal musim 2024/2025 mencatatkan 17 penampilan serta menyumbang satu gol dan tiga bantuan jaringan dalam semua pertandingan domestik dan Asia.
Kepulangan semula pemain berketinggian 1.80 meter itu ke SJK dilihat sebagai langkah strategik oleh kelab Finland tersebut dalam usaha memperkukuh barisan pertahanan mereka, selain menambah pengalaman dan versatiliti di bahagian sayap. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram