Tak ikut persetujuan, percakaran Amir Raja Lawak, Ustaz Tido berkaitan isu 'marketing' berterusan


  • Hiburan
  • Rabu, 23 Jul 2025

Amir menyatakan beliau telah bekerja seharian dengan satu jenama lain dan terlalu letih untuk menguruskan lebih daripada satu komitmen serentak. — Facebookk/Amir Raja Lawak

PERSELISIHAN faham antara pelawak terkenal, Amir Raja Lawak dan pendakwah bebas, Ustaz Khailil Razak menjadi perhatian warga maya apabila ia tular di media sosial susulan satu tawaran terbuka membabitkan projek jualan Pes Asam Pedas.

Kekecohan bermula apabila Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 35, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap urusan kerjasama tersebut menerusi satu hantaran panjang di Facebook miliknya.

"Sebenarnya saya malas nak buat posting ini, sebab saya tahu ia akan bantu naikkan engagement dia yang akhirnya akan digunakan untuk buat live niaga si penunggang ini.

BACA LAGI: 'Bincang dulu sebelum up posting', Amir Raja Lawak tegur niat baik ustaz mahu bantu ayah sakit, elak dianggap ‘marketing’

BACA LAGI: Tidak lagi bersama JDT, winger Brazil sertai bekas kelab tonggak Selangor

"Patutnya dia bayar saya untuk posting ini. Saya minta RM10,000. Kalau betul gentle, bayar terus!” tulis Amir.

Amir turut mempersoalkan janji temu yang dibuat, mendakwa Khailil tidak konsisten dengan perancangan awal.

Jelasnya, mereka sudah bersetuju untuk bertemu pada Khamis petang sebelum sesi live pada sebelah malam, namun Khailil hadir lebih awal tanpa diminta dan meninggalkan isterinya yang sedang mengandung.

"Saya dah cakap, boleh saja jumpa Khamis petang sebelum live. Kan live tu Khamis malam? Tapi tiba-tiba dia datang awal Khamis dan tinggal isteri dia. Bukan saya yang suruh pun," ujarnya.

Lebih lanjut, Amir menyatakan beliau telah bekerja seharian dengan satu jenama lain dan terlalu letih secara fizikal dan mental untuk menguruskan lebih daripada satu komitmen serentak.

Tidak lama selepas hantaran Amir itu tular, Khailil tampil memberikan penjelasannya menerusi Facebook, dengan nada kecewa terhadap situasi yang berlaku.

Beliau menjelaskan bahawa semua syarat telah dipersetujui lebih awal melalui panggilan telefon dan menegaskan beliau telah datang dari Mersing ke Kelantan khusus untuk kerjasama tersebut.

Bagaimanapun, hantaran Khailil tersebut sudah pun diturunkan dengan terdapat kemungkinan kedua-dua pihak enggan terus mengeruhkan keadaan sehingga menjejaskan reputasi dan perniagaan masing-masing.

Konflik kedua-dua individu itu pada awalnya tercetus selepas Ustaz berkenaan menyatakan hasrat dengan Amir untuk mewujudkan kerjasama bagi tujuan pemasaran produk.

Namun, tindakannya untuk membuat hantaran tanpa menunggu respons pelawak terkenal itu menimbulkan rasa kurang senang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram