
MELIHAT kepada import dibawa masuk kelab-kelab Liga Super ketika ini, ramai daripadanya cukup berpengalaman selepas pernah beraksi dalam liga sekitar Eropah dan Timur Tengah.
Kehadiran mereka sudah tentu dapat merancakkan arena bola sepak tempatan musim depan kerana penyokong mahu melihat wajah-wajah baharu tersebut meledak bersama pasukan masing-masing.
Meskipun ada daripadanya memasuki penghujung karier, pengalaman diraih sepanjang beraksi di atas padang dijangka mampu membawa nilai tersendiri dalam peranan bakal diberikan.
BACA LAGI: Mungkin belum serasi, 3 rekrut profil tinggi Liga M termasuk Luqie masih ditunggu tunjuk belang
BACA LAGI: Pernah jadi mangsa kad merah silap, kapten negara Afrika disebut rekrut terbaharu Harimau Kumbang
Selain itu, sesetengah import baharu yang dibawa masuk berpeluang berkongsi padang bersama pemain ternama, baik ketika mereka berada dalam fasa akhir karier mahupun ketika di peringkat akademik.
Lebih menarik lagi, ada daripada pemain baharu itu pernah beraksi di samping bintang dengan penampilan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) yang boleh diangkat sebagai saingan paling mencabar dalam dunia.
Minit direkodkan itu sememangnya berharga kerana di samping dapat menimba tunjuk ajar berharga, peluang tersebut dapat memberikan pengalaman sukar diraih mana-mana pemain profesional.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga rekrut baharu Liga Super yang pernah bergandingan bersama pemain yang muncul dalam EPL dalam karier mereka.
1. Jairo da Silva & Dimitar Berbatov
Antara nama paling besar menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) pada jendela perpindahan kali ini sudah tentu penyerang dari Brazil, Jairo da Silva yang diharapkan mampu memberi cabaran terhadap rakan sepasukan, Bergson da Silva.
Selain pernah beraksi di negara kelahiran sendiri, pemain berusia 33 tahun berkenaan berpengalaman sekitar Eropah untuk pasukan seperti Pafos FC di Cyprus dan gergasi Croatia, Hajduk Split.
Penyerang tersebut juga pernah berkelana hingga ke Greece dan beraksi buat dua kelab di negara itu, iaitu PAOK dan PAS Giannina selama kira-kira tiga musim di sana.
Jairo ketika beraksi buat kelab Greece, PAOK FC sebelum berkelana ke kelab lain sekitar Eropah. — Agensi
Meskipun rekodnya di negara Mediterranean terbabit tidaklah begitu baik, Jairo berpeluang menimba pengalaman di samping bekas peledak Manchester United, Dimitar Berbatov.
Hal itu berlaku pada musim 2015/16 dengan kedua-duanya pernah berada di atas padang bersama-sama sebanyak 10 kali, namun mereka tidak pernah mencipta gol untuk satu sama lain.
Peluang beraksi di samping bintang The Red Devils itu sememangnya bernilai dalam usaha rekrut baharu JDT itu membawa skuad Harimau Selatan ke tahap lebih tinggi selepas ini.
2. Chrigor Moraes & Neil Etheridge
Selangor FC turut berbelanja besar pada jendela perpindahan kali ini apabila mereka membawa masuk penyerang dari Brazil, Chrigor Moraes yang bernilai €800,000 (RM3.9 juta).
Nilai besar itu diletakkan kerana pemain tersebut baru sahaja berusia 24 tahun selain memiliki rekod jaringan cukup baik semasa beraksi di negara asalnya serta sepanjang dua musim di Thailand.
Malah, meskipun masih muda, Chrigor memiliki pengalaman luas apabila berpeluang beraksi di samping pemain ternama seperti tonggak Harimau Malaya, Dion Cools semasa di Buriram United.
Chrigor berpeluang beraksi di samping nama-nama besar sepanjang bersama Buriram United. — Facebook/Buriram United
Tidak cukup dengan itu, semasa beraksi buat gergasi bola sepak Thailand itu, rekrut baharu Selangor FC juga menghabiskan masa di samping penjaga gol Neil Etheridge yang mempunyai penampilan dalam EPL bersama Cardiff City FC.
Berdasarkan rekod, kedua-dua pemain itu pernah beraksi di samping satu sama lain sebanyak 20 kali, iaitu sebanyak 14 kali dalam saingan Liga Thailand sementara baki daripadanya dicatatkan di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.
Meskipun peranan masing-masing cukup berbeza, pengalaman diraih semasa beraksi bersama penjaga gol tersebut sudah cukup untuk mematangkan Chrigor yang masih muda.
3. Diego Landis & Fabio Vieira
Terengganu FC dijangka tidak akan lagi membawa masuk import baharu pada jendela kali ini selepas mengesahkan kehadiran rekrut terakhir, Diego Landis pada Selasa.
Bek tengah itu merupakan penambahan cukup baik buat skuad Sang Penyu kerana pemain terbabit sudah membuktikan diri di Thailand bersama Chiangrai United dan Khon Kean United.
Selain itu, pemain berusia 27 tahun tersebut pernah menghabiskan masa selama kira-kira dua tahun bersama skuad simpanan Porto FC yang merupakan gergasi bola sepak di Portugal.
Landis (kanan) menerima pendedahan cukup berharga pada awal kariernya apabila menyertai skuad belia Porto FC. — Instagram/Diego Landis
Di samping menerima pendedahan berharga di peringkat awal kariernya, Landis berpeluang berkongsi padang di samping 'ubi muda' berkualiti dengan ada daripadanya kini sedang menempa nama di Eropah.
Ini termasuk pemain tengah Arsenal, Fabio Vieira yang pernah bersama-sama rekrut baharu Terengganu FC tersebut sebanyak empat kali dalam Liga Portugal 2 pada musim 2019/20.
Meskipun ketika itu mereka tidak tahu nasib masing-masing, minit diraih itu semestinya berharga kerana Landis pasti akan menyedari bakat dimiliki pemain tersebut di peringkat awal kariernya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram