Masih belum rasmi, perpindahan winger kelahiran Manchester ke Selangor awal-awal dah bocor


  • Podium
  • Selasa, 22 Jul 2025

Skuad Gergasi Merah berbelanja besar pada jendela perpindahan kali ini untuk memperkuatkan pasukan. — Facebook/Selangor FC

SELANGOR FC rancak berbelanja pada jendela perpindahan kali ini apabila mereka membawa masuk tiga import baharu, iaitu Willian Lira, Picha Autra dan Chrigor Moraes.

Ketiga-tiga rekrut baharu itu sememangnya dijangka dapat menambah kualiti skuad Gergasi Merah kerana pengalaman masing-masing di pentas antarabangsa cukup baik.

Bagaimanapun, berdasarkan khabar angin bertebaran di media sosial, aktiviti perpindahan naib juara Liga Super 2024/25 itu belum berakhir selepas mereka dikaitkan dengan seorang lagi pemain luar negara.

BACA LAGI: Bekas bintang EPL tak direstui fans Gergasi Merah, siap tunjuk bukti lebih hebat dari kelab Australia

BACA LAGI: Ramainya pemain berebut satu posisi, dilema bukan saja Selangor FC, malah Kuching City-Terengganu

Zach Clough menghabiskan tiga musim cukup baik di Australia bersama Adelaide United. Agensi

Sasaran dimaksudkan adalah import dari England, Zach Clough yang musim lalu beraksi di Australia buat Adelaide United dengan ia merupakan tahun ketiganya di kelab terbabit.

Khabar angin itu kedengaran selepas pemerhati bola sepak Australia, Rob Cornthwaite yang menyatakan perpindahan tersebut sudah dimeterai meskipun tiada sebarang pengesahan diberikan.

Tidak cukup dengan itu, semakan di laman sesawang transfermarkt turut memaparkan Zach Clough sudah menjadi milik Selangor FC yang sekali gus menjadikannya rekrut terbaru pasukan tersebut.

Kehadiran pemain sayap berkenaan menyaksikan skuad Gergasi Merah memiliki lapan import setakat ini, termasuk tiga rekrut baharu dinyatakan di atas.

Laman sesawang transfermarkt memaparkan Zach Clough sudah memeterai perpindahan ke Selangor FC.

Gandingan kesemua mereka sudah tentu dapat memberikan pasukan kendalian Katsuhito Kinoshi itu ruang memberi saingan lebih baik berbanding musim lalu, termasuk di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two.

Ini kerana Zach Clough dapat diturunkan di sebelah kanan sementara tonggak musim lalu, Alvin Fortes beraksi sebagai penyerang sayap kiri dengan masing-masing memikul tanggungjawab menyajikan peluang buat Willian Lira mahupun Chrigor.

Berdasarkan rekod musim lalu, import kelahiran Manchester, England itu merekodkan tujuh gol dan sembilan bantuan jaringan buat Adelaide United dalam semua kejohanan.

Persembahan sebegitu perlu ditampilkan secara konsisten buat Selangor FC kerana perebutan menarik akan disaksikan di posisi sayap, baik dalam kalangan import mahupun bintang lokal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram