Mungkin belum serasi, 3 rekrut profil tinggi Liga M termasuk Luqie masih ditunggu tunjuk belang


  • Podium
  • Sabtu, 19 Jul 2025

Luqman Hakim masih belum mencetak jaringan pertama bersama skuad Jang meskipun terlibat dalam aksi pramusim baru-baru ini. — Facebook/Negeri Sembilan FC

MESKIPUN kemeriahan Liga Super musim depan dijangka tidak seperti dahulu disebabkan kehilangan beberapa kelab elit, setiap pasukan bertanding masih melakukan persiapan terbaik supaya dapat memberikan saingan.

Ini dibuktikan dengan aktiviti perpindahan sibuk sepanjang jendela kali ini dengan hampir kesemua 13 kelab membuat rombakan menyeluruh terhadap pasukan.

Namun, sebelum didedahkan dalam aksi kompetitif, masing-masing berpeluang mencipta persefahaman dengan rakan sepasukan di atas padang dalam aksi persahabatan.

BACA LAGI: Jang Hobin tak main-main, Luqman Hakim antara 3 bintang menyerlah lepas calar ego Kelantan RW

BACA LAGI: Baiki kedudukan liga, tajamkan semula Luqman Hakim antara tugas penting Nidzam Jamil di NSFC

Setakat ini, dalam beberapa perlawanan pramusim dianjurkan, beberapa rekrut baharu sudah mula mencipta nama dengan ada daripadanya sudah mencetak gol sulung bersama kelab baharu.

Tetapi, ada pula yang mengalami situasi sebaliknya apabila belum berjaya menambat hati penyokong kerana belum meletakkan nama dalam senarai penjaring setakat ini.

Ketumpulan di hadapan pintu gol dalam perlawanan pramusim sememangnya dikhuatiri memberi kesan jangka masa panjang meskipun ramai masih tenang dan memberikan masa buat rekrut pasukan masing-masing.

Bagaimanapun, bagi tiga bintang baharu yang hadir dengan reputasi cukup hebat, kegagalan untuk meledak setakat ini membuatkan penyokong mula tertanya-tanya akan impak bakal dibawa bagi musim 2025/26.

1. Luqman Hakim Shamsudin (Negeri Sembilan FC)

Selepas lima tahun berkelana di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin akhirnya pulang ke tanah air dengan harapan kariernya yang sedikit sendu kebelakangan ini dapat kembali ke landasan.

Bekas penyerang Bawah 16 Tahun (B-16) negara itu memiliki beberapa pilihan selepas khabar angin menyatakan Selangor FC dan Terengganu FC berminat akan khidmatnya, namun dia memilih untuk menyertai Negeri Sembilan FC.

Keputusan tersebut berkemungkinan diambil kerana Luqman percaya peluang lebih cerah mampu diraih bersama skuad Jang dengan kehadiran Nidzam Jamil boleh menjadi antara faktor lain.

Luqman pasti berharap perpindahan ke skuad Jang dapat mengembalikan keyakinannya di atas padang.  Facebook/Negeri Sembilan FC

Bagaimanapun, setakat ini, pemain tersebut masih belum mencetak sebarang gol dalam aksi pramusim memandangkan pasukan berkenaan sudah berdepan Kelantan Red Warriors (KRW) FC di Stadium Cheras, Kuala Lumpur (KL).

Ramai sudah tentu masih terus menyokong penyerang berusia 23 tahun tersebut dengan alasan satu perlawanan belum cukup untuk menilai kebolehannya bersama rakan pasukan baharu.

Namun, sekiranya Luqman mensia-siakan masa terus diberikan peminat, ia akan akhirnya membuatkan kepulangannya dalam arena bola sepak tempatan mudah dilupakan.

2. Joao Figueiredo (JDT)

Tidak cukup dengan mengadakan aksi pramusim di Sepanyol, Johor Darul Ta'zim (JDT) turut melaburkan kos tinggi bagi kempen akan datang selepas membawa masuk lambakan pemain baharu.

Tumpuan utama sudah tentu diberikan ke arah kehadiran penyerang warisan negara, Joao Figueiredo yang sudah mencetak gol pertama buat Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam.

Selain sudah mencipta nama di bersama pasukan kebangsaan, Figueiredo turut memiliki karier cukup baik kerana pernah beraksi di liga Turkiye, Brazil selain beberapa kejohanan peringkat Eropah.

Keputusan Figueiredo yang menyertai skuad Harimau Selatan menimbulkan kejutan dalam kalangan peminat.  Facebook/JOHOR Southern Tigers

Namun, teruja dengan tawaran skuad Harimau Selatan, penyerang berusia 29 tahun tersebut memilih untuk mencuba cabaran baharu dengan perpindahan terbabit sudah dapat diramal orang ramai.

Bagaimanapun, dalam tempoh pramusim dihabiskan bersama JDT, Figueiredo belum meledak jaringan yang pastinya meresahkan peminat pasukan terbabit.

Malah, dalam aksi terakhir skuad Harimau Selatan di Sepanyol, pemain itu mengalami kekalahan di tangan pasukan simpanan Valencia serta Al Rayyan yang pastinya sedikit mencalarkan tempoh awalnya di kelab tersebut.

3. Bruno Suzuki (Penang FC)

Meskipun tidaklah mempunyai rekod jaringan mengagumkan, Bruno Suzuki masih boleh dianggap sebagai penyerang import berpengalaman yang mampu diharapkan setiap kali perlawanan getir.

Kebolehan tersebut sememangnya disedari Penang FC yang menjadikan pemain tersebut sebagai antara rekrut awal pada jendela perpindahan kali ini selepas ditandatangani dari PDRM FC.

Namun, setakat ini, penyerang berusia 35 tahun itu masih belum mencatatkan sebarang jaringan bersama skuad Harimau Kumbang meskipun beberapa aksi persahabatan sudah berlangsung.

Pengalaman dimiliki Bruno diharapkan mampu mengubah skuad Harimau Kumbang.  Facebook/Penang FC

Kesukarannya mencetak gol sulung bersama kelab Utara tanah air tersebut cukup merisaukan kerana penyokong meletakkan cita-cita besar selepas bermusim-musim dikecewakan.

Bagaimanapun, terdapat kemungkinan Bruno sudah mencatatkan jaringan bersama Penang FC, cuma tidak dikemas kini secara terperinci dalam perkongsian di laman media sosial kelab.

Ini kerana beberapa keping foto, termasuk ketika pasukan berkenaan membenam JDT II memaparkan rekrut baharu Harimau Kumbang itu tampak cukup gembira, sekali gus menimbulkan kemungkinan dia sudah mencetak gol bersama pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram