
SEPERTI yang kita sedia maklum, bazar Ramadan pastinya menjadi tumpuan untuk membolehkan orang ramai mendapatkan juadah untuk berbuka.
Akan tetapi, setiap tahun pastinya pelbagai isu timbul seperti harga tidak berpatutan, kualiti makanan rendah serta tahap kebersihan bazar yang meragukan.
Namun begitu, terdapat cara berbeza yang digunakan oleh pengelola bazar Ramadan di Putrajaya bagi memastikan kebersihan berada dalam tahap terbaik.
Menerusi perkongsian Perbadanan Putrajaya di media sosial, mereka menunjukkan inisiatif bagi memastikan setiap tapak di bazar Ramadan Putrajaya bersih tanpa gangguan serangga.
Dalam perkongsian itu, usaha membersihkan tapak bazar dilakukan setiap malam dengan melakukan semburan kawalan lalat.
Tindakan itu penting untuk memastikan tapak bazar itu sentiasa bersih untuk peniaga dan pengunjung.
“Selain Tapak Bazar Ramadan Presint 3, Perbadanan Putrajaya juga menjalankan aktiviti samburan kawalan lalat di tapak Bazar Ramadan Presint 11.
“Ini bagi memastikan kawasan di situ bebas dari gangguan lalat ketika beroperasi.
"Dengan kawalan lalat yang berkesan, jualan lebih lancar, makanan lebih terjaga, dan pengalaman di Bazar Ramadan lebih selesa,” kata Perbadanan Putrajaya.
Usaha sebegitu menerima pujian ramai dengan ada yang beranggapan ia sepatutnya menjadi prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua tapak bazar Ramadan di Malaysia.
Kebersihan di bazar Ramadan amat penting bagi menjamin kualiti makanan dijual kepada para pengunjung yang hadir.
"Patut ini dijadikan SOP di semua tapak bazaar dan pasar malam di Malaysia," kata Abdul Ariff.
"ALHAMDULILLAH, memang elok diwar-warkan perkara yang baik macam ni. Kadang-kadang, orang asyik nak kutuk saja. Tahniah pihak berwajib atas amanah yang dilaksanakan," ujar Mohamad Syaril. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram