
PEMILIHAN semula pemain import yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia oleh beberapa pasukan dilihat sebagai langkah strategik yang masih relevan terutama bagi pasukan yang mahu mengurangkan risiko dalam membentuk skuad berdaya saing.
Menurut pemerhati sukan tempatan, Afiq Rowley, keputusan Kuching City FC membawa masuk penyerang kelahiran Cameroon, Ronald Ngah Wanja atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah itu dianggap sebagai percaturan terbaik oleh pengendalinya, Aidil Sharin Sahak.
"Kalau merujuk kepada Ronald Ngah, saya melihat ini sebagai percaturan terbaik dilakukan Aidil Sharin kerana mereka berdua pernah bekerjasama dan Ronald antara penyerang terbaik pernah dilatih Aidil," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Kelab Lembah Klang terus berbelanja, striker dilupakan JDT antara 3 nama sedang dipantau
BACA LAGI: Pernah jadi mangsa kad merah silap, kapten negara Afrika disebut rekrut terbaharu Harimau Kumbang
The Cats sah mendapatkan khidmat bekas import Kedah, Pak Ngah (kiri) bagi memperkuatkan skuad mereka untuk musim hadapan. — Facebook/Kuchingcityfc
Fenomena penggunaan semula pemain import bukanlah sesuatu yang asing dalam kancah bola sepak tanah air.
Hal ini kerana, nama seperti bekas penyerang berbisa Sri Pahang FC, Kpah Sherman menjadi contoh bagaimana pemain yang pernah beraksi di Malaysia tetap mampu memberi impak jika diberi kepercayaan semula.
"Untuk faktor lain, saya melihat ia lebih kepada langkah selamat dan mengurangkan risiko kerana pada fahaman saya import yang dikitar semula ini sudah terbiasa dan ada yang sudah terbukti macam Kpah Sherman," tambah Afiq.
Afiq turut menyuarakan pandangannya mengenai aspek pemilihan pemain yang menurutnya masih terlalu bergantung kepada ejen berbanding sistem pemantauan bakat profesional seperti yang dilakukan oleh kelab besar.
Katanya, hanya beberapa kelab seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC yang menggunakan kaedah pemantauan bakat secara sistematik, manakala kebanyakan kelab lain lebih bergantung kepada ejen pemain.
Bagaimanapun, pendekatan itu tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya memandangkan ia dilihat sebagai langkah penjimatan bagi kelab yang beroperasi dengan sumber terhad.
"Pada pandangan saya, hanya beberapa kelab sahaja mungkin seperti JDT dan Selangor yang menggunakan kaedah pemantau bakat tersebut. Selebihnya lebih mengharapkan kepada ejen.
"Tapi nak salahkan pun tak juga, kerana mereka dapat berjimat," ujarnya lagi.
Kpah Sherman (kiri) buktikan pemain import 'kitar semula' mampu beri impak besar jika diberi peluang kedua. — MFL
Bagaimanapun, Afiq mengingatkan bahawa trend terlalu bergantung kepada import boleh memberi kesan negatif kepada pemain tempatan terutama yang masih muda dan sedang meningkat naik.
"Sudah tentu beri kesan negatif jika pemain tempatan sendiri terus selesa dan tak ada inisiatif untuk step up lebih baik.
"Contohnya, Haqimi Azim Rosli. Entah kenapa pemain yang dilabel wajah serangan masa depan negara ini dilihat menurun daripada segi prestasi," jelasnya.
Katanya lagi, tekanan untuk menghasilkan keputusan positif juga menyebabkan jurulatih lebih cenderung meletakkan pemain import berbanding memberi peluang kepada pemain muda.
"Nak salahkan pasukan tak boleh. Mereka perlu hasilkan keputusan positif untuk tarik peminat. Jika segalanya tak berhasil ia bakal beri kesan," tambahnya.
Musim 2025/2026 dijangka menyaksikan lebih banyak pasukan meneruskan corak pemilihan import berdasarkan pengalaman terdahulu, namun cabaran sebenar adalah memastikan keseimbangan antara pembangunan bakat tempatan dan keperluan untuk menang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram